Tindakan tegas untuk putuskan rantaian COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai yang berkata kompaun RM1,000 untuk mereka yg mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membebankan tetapi ia boleh dielak jika orang ramai mematuhi arahan tersebut.

- Advertisement -

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad menegaskan kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas untuk memutuskan rantaian virus COVID-19.

Katanya, jika rantaian ini gagal diputuskan maka negara akan berhadapan dengan tsunami wabak COVID-19.

Justeru, beliau berharap rakyat perlu memberi kerjasama dan kerajaan tidak sewajarnya bertolak ansur dengan mereka yang degil kerana amaran telah berkali-kali diberikan.

“Mustahil ada rakyat yang tidak tahu dengan amaran supaya tidak keluar rumah kecuali ada keperluan yang dibenarkan.

“Memang kita semua mahu kembali hidup seperti biasa – bekerja, berniaga, berekreasi, beribadah di masjid dan surau, membeli-belah – tetapi PKP ini perlu untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar,” katanya.

Beliau mengingatkan jangan pula disebabkan segelintir dari rakyat yang enggan maka padahnya diterima oleh semua orang.

“Kita tidak mahu PKP ini dilanjutkan sehingga berbulan-bulan lamanya. Saya berharap kita dapat bersabar untuk memastikan ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau yakin kerajaan bukan zalim kerana ada kelonggaran bagi mereka yang ada keperluan mendesak untuk keluar tetapi perlu mengikut saluran yang betul. – HARAKAHDAILY 9/4/2020

- Advertisement -