Jalan yang lurus dan jalan kesesatan

صِرَ ٰ⁠طَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ

[al-Fatihah: 7]

Advertisement

Menurut Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi, ayat ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah memohon untuk diberikan hidayah di atas jalan yang benar, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat sebelumnya. Bahagian kedua pula adalah memohon supaya tidak termasuk ke jalan golongan yang sesat, iaitu mereka yang dimurkai serta golongan yang sesat.

Kita simpulkan sebagaimana berikut:

(1) Orang beriman tidak sesekali mahu berada dalam keadaan kemurkaan Allah. Ia tidak hanya dengan berusaha melakukan ketaatan, bahkan bersungguh-sungguh berdoa agar tidak terjerumus ke jalan yang salah.

(2) Ulamak bersepakat bahawa jalan yang dimurkai merujuk pada Yahudi, dan jalan sesat merujuk pada Nasrani. Ia berdasarkan Hadis daripada ‘Adi bin Hatim At Tha’i bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan padanya perihal tersebut.

(3) Ketelitian al-Quran dalam penggunaan kalimah, boleh dilihat pada lafaz Ghairil Maghdub, dan juga Ad-Dhaallin. Tidak disebutkan kalimah ghairid Dhaallin kerana jalannya adalah berpunca dari satu tempat yang sama. Iaitu jalan sesat (Nasrani) juga berpunca daripada Yahudi kemudian berkembang.

(4) Untuk mengetahui jalan yang benar, hendaklah mengetahui juga jalan yang salah. Bahkan supaya kita dapat membuat perbandingan dan pertimbangan secara rasional akal, fitrah dan seterusnya berdasarkan petunjuk wahyu. Ucapan Saidina Umar al-Khattab menyebutkan;

“Sesungguhnya akan terungkai ikatan Islam satu persatu apabila munculnya generasi Islam yang tidak mengenali jahiliah (kesesatan)”.

(5) Umat Islam juga tidak dapat lari dari terdedah dengan apa jua yang datang dari Barat. Islam tidak mengajar umatnya untuk mendabik dada sebagai orang pandai melalui sijil, tanpa memiliki jiwa takutkan Tuhan. Sebaiknya perlulah memiliki asas agama yang baik untuk tidak menerima bulat-bulat apa yang didatangkan oleh mereka. Apatah lagi dengan kebanjiran pemikiran Liberal, lalu menghalalkan semuanya kononnya atas izin agama.

(6) Orang beriman sifatnya paling takut kemurkaan Allah. Jika buat silap dengan manusia pun kita sudah takut jika tidak dimaafkan, apatah lagi buat dosa dengan Tuhan. Bahkan bukan jiwa orang beriman melihat orang lain melakukan kemungkaran lalu dibiarkannya, mesti berusaha untuk mencegahnya.

Apa lagi yang nak diharapkan selain terus mencari jalan untuk tidak menyeleweng atau disesatkan. Janji Allah dan Rasul bahawa jalan benar itu satu, cuma ia tidaklah semudah yang disangka.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 9/4/2020