Cadang kerajaan beri moratorium 2 bulan LPPSA

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) prihatin berkenaan permintaan penjawat awam dan pesara Kerajaan mengenai penangguhan atau moratorium ansuran bulanan pembiayaan perumahan LPPSA. Perbankan tempatan telah memberikan 6 bulan moratorium, hasil saranan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi merangsang ekonomi negara dan memberikan lebihan aliran tunai kepada rakyat untuk berbelanja melihat kepada krisis kesihatan dan ekonomi pada hari ini.

Pemuda PAS juga cakna berkenaan kelangsungan (sustainability) dan sumber kewangan LPPSA yang terkesan sekiranya memberikan penangguhan atau moratorium selama 6 bulan akan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.

Sehubungan itu, Pemuda PAS mencadangkan agar LPPSA berbincang dengan institusi kewangan yang memberikan pinjaman atau pembiayaan modal kewangan kepada LPPSA sekiranya boleh ditangguhkan bayaran selama 2 bulan minimum. Seterusnya memberikan peluang kepada LPPSA bagi kelonggaran penangguhan atau moratorium kepada penjawat awam dan pencen Kerajaan selama 2 bulan.

- Advertisement -

Pemuda PAS percaya penangguhan atau moratorium dalam tempoh 2 bulan memberikan makna dan jumlah yang besar kepada penjawat awam dan pesara Kerajaan sekali gus tidak memberikan kesan yang besar kepada sumber kewangan LPPSA.

Pemuda PAS juga berharap pihak Kerajaan dapat mempertimbangkan saranan DPPM khususnya Kementerian Kewangan dalam menasihati LPPSA dalam isu ini.

“Pemuda PAS”
“Demi Islam”
“Untuk Mu Malaysia”

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/4/2020

- Advertisement -