Tiada kompromi jika ingkar PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tangkapan mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat 13 peratus semalam berbanding hari sebelumnya.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejumlah 454 individu telah ditangkap oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui sekatan jalan raya dan rondaan semalam berbanding 403 tangkapan sehari sebelumnya.

“PDRM tidak akan berkompromi sedikit pun dengan sesiapa yang ingkar perintah (PKP) yang dikeluarkan.

“Tindakan yang tegas dilaksanakan oleh PDRM adalah bagi memastikan tiada pelanggaran perintah akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 380 individu telah direman, manakala mereka yang dijamin seramai 74 individu dan sebanyak 360 individu telah dituduh di mahkamah.

Katanya jumlah kumulatif tangkapan yang ingkar PKP sejak 18 Mac hingga 7 April 2020 adalah sebanyak 6,905 individu.

“Saya harap rakyat dapat mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan kalau tidak mahu tindakan tegas diambil,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 8/4/2020

- Advertisement -