MALAYSIA mesti keluar sebagai negara pertanian, selain industri. Hidupkan semula idea Tun Razak menghijaukan bumi Malaysia. Ikuti langkah Thailand, menjadi sebuah negara pertanian. Kita tidak akan rugi sampai bila-bila jika fokus kepada pertanian.
Hari ini semua bimbang, apakah stok makanan mencukupi wabak COVID-19 yang mengancam dunia. Saban hari membaca berita, boleh dikatakan setiap negara mula mengurangkan produksi pengeluaran pertanian dan makanan. Ubat-ubatan tidak berkecuali.
Jika perkara ini benar-benar berlaku, apa akan terjadi kepada rakyat Malaysia? Sudah sampai masanya kita menjadi negara pertanian pasca COVID-19. Tanah kita terlalu subur. Campak sahaja benih apa, jadi pulau belaka. Meskipun bukan tanaman asal kita.
Sawit, kelapa, getah, kopi, koko, kurma dan banyak lagi, semua bukan tanaman asal kita. Bila ditanam sahaja, hidup dengan subur. Ada yang sampai dieksport, contoh, sawit, getah dan sebagainya. Mahu apa lagi dengan tanah subur kurniaan Ilahi ini. Bersyukurlah.
Alhamdulillah ketika musim COVID-19, saya tidak perlu keluar mencari sayuran dan cili. Segala jenis ulam ada di rumah, begitu juga dengan cili, walaupun tidak semua sayuran ada. Tetapi cukuplah untuk menahan daripada keluar setiap hari mencari barang keperluan dapur.
Rakyat Malaysia perlu disedarkan untuk bertani di rumah. Paling kurang bertani dalam pasu. Bukan sahaja menjimatkan, tetapi sebagai persediaan ketika musim gawat, COVID-19 ini. Hijau rumah dan bumi ini.
Ketika almarhum Tun Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, beliau telah berjaya menghijaukan bumi bertuah ini. Agensi seperti FELDA dan MARA (RIDA) ditubuhkan bagi mengaktif gerakan bertani.
Dalam Rancangan Malaya Pertama, Kerajaan telah memperuntukkan 44.5 peratus daripada belanjawan keseluruhan negara bagi pembangunan ekonomi, terutamanya pertanian.
Tun Razak telah mengumumkan pembukaan tanah secara besar-besaran pada Oktober 1960. Menempatkan petani yang tidak mempunyai tanah dan membangunkan tanah tersebut.
Beliau turut menubuhkan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) pada Oktober 1964. Selain membasmi kemiskinan, turut menghijau negara ini hasil keluaran pertanian makanan.
Pada Jun 1974, Tun Razak melancarkan rancangan Buku Hijau menjadi FELDA dan FELCRA semakin aktif. Reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia telah menjadi Malaysia sebagai pengeluar getah dan sawit
Selain itu, agensi pertanian lain turut ditubuhkan seperti Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
Tujuan Buku Hijau adalah untuk menambah hasil makanan, dengan rakyat mengambil bahagian yang aktif dalam bidang ekonomi pertanian.
Menggalak tanaman jangka pendek, tanaman selingan seperti kacang tanah, sekoi, jagung, ikan air tawar, ternakan kerbau lembu dan sebagainya.
Memandangkan pentingnya pertanian tidak kira waktu, sama ada berwabak atau pun tidak, persiapan payung sebelum hujan amat penting. Jangan bila terhantuk sebegini baru mengadah.
Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia supaya dapat merealisasikan slogan Kementerian Pertanian dan Asas Tani, pertanian itu adalah perniagaan. Jadikanlah pertanian itu suatu jihad. Selain sumber makanan, pertanian mendatangkan hasil yang menguntungkan.
Lihat sahaja betapa agresifnya orang Cina, di bawah pencawang dan tepi-tepi jalan, semua dimanfaatkan dengan bercucuk tanam. Janganlah pergi jauh melihat Cameron Highland.
Kenapa kita begitu malas? Lebih menyedihkan kita tinggalkan kampung-kampung dengan tanah yang luas, sanggup ke bandar semata-mata untuk bekerja kilang dengan pendapatan tidak seberapa.
Tanah rancangan seperti FELDA, FELCRA, mula dikenali sebagai lubuk dadah daripada pertanian itu sendiri. Kenapa perkara sebegini boleh berlaku dalam kalangan anak-anak muda? Tidakkah mereka ini perlu disedarkan akan kepentingan bertani?
Justeru, saya menyeru supaya menjadi pertanian sebagai satu jihad. Pastikan setiap rumah dihijaukan. Jika tidak ada tanah, sekurang-kurangnya ada pasu-pasu atau polybag yang dipenuhi dengan tanaman-tanaman yang boleh dimakan. Bukan hanya pokok-pokok hiasan dan bunga-bungaan.
Kempen-kempen hendaklah digerakkan daripada sekarang akan pentingnya bertani. Ikut seperti apa yang dilakukan oleh negara jiran kita, Thailand. Setiap inci tanah dimanfaatkan bagi tujuan bertani.
Beras sebagai makanan ruji pun, negara kita tidak dapat menampung keperluan. Terpaksa bergantung kepada negara jiran. Namapun beras siam, bukan beras Melayu atau beras Jawa.
Sampai bila mahu bergantung kepada beras Siam. Kita juga mahu dengar beras Terengganu, beras Kedah, beras Iban, beras Dusun, beras Sabah, beras Sarawak, beras Kadazan dan macam-macam nama lagi.
Cuma masalahnya, kita masih gagal meletakkan nama pertanian itu sebagai satu jenama komersial yang diminati oleh anak muda. Pertanian itu kerja glamour. Pertanian sebagai perniagaan. Pertanian sebagai tempat menabur pahala.
Sedangkan dalam Islam, terlalu menekankan soal pertanian. Sehinggakan pokok yang ditanam, dimakan dan diteduhi oleh apa jua jenis haiwan, hatta dimakan babi sekali pun, tuan yang menanam tetap mendapat pahala. Begitulah besarnya erti pertanian dalam agama. Kenapa pertanian yang sebegitu besar maknanya masih tidak mendapat perhatian?
Mungkin salah satu sebabnya masalah mendidik lelaki dalam konteks perumahan moden hari ini. Anak lelaki tidak banyak ruang untuk berkarya berbanding anak perempuan.
Anak perempuan banyak ruang dengan membuat kerja rumah. Anak lelaki seolah-olah yang lama duduk di rumah, tidak banyak tempat untuk mengisi masa lapang atau ruang kosongnya.
Jadi, sudah sampai masanya anak lelaki dibiasakan dengan bertani di sekitar rumah dan kawasan perumahan. Mudah-mudahan dengan terisinya kelompongan dan kekosongan itu, dapat mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam gejala penagihan dadah dan lain-lain gejala sosial.
Pembangunan lestari ini mesti dilakukan segera, pasca COVID-19 demi menyelamatkan negara tercinta. InsyaAllah, kita tidak akan kebulur walaupun apa juga serangan virus yang melanda pada masa akan datang.
PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 8/4/2020
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.