Bersama menjulang tinggi agama Islam

- Advertisement -

SAYA menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah Ibni Al Marhum Sultan Azlan Muizzuddin Shah Al- Maghfur-Lah di atas perkenan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan serta memangku Portfolio Sains Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau.

- Advertisement -

Terima kasih buat Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab yang besar ini.

Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah menyampaikan ucapan tahniah buat hamba yang dhaif ini. Hakikatnya, semua urusan ini kembali kepada Allah S.W.T yang Empunya Kuasa.

Hakikat pelantikan ini sebenarnya satu amanah yang besar dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah S.W.T, dan juga sebagai anak negeri Perak di dalam memartabatkan Institusi Raja dan Agama Islam di negeri ini.

Menjadi tanggungjawab yang besar untuk memperkenalkan Islam sebagai agama persekutuan, dalam masa yang sama memberi kebebasan kepada mana mana agama untuk mengamalkan ajaran masing masing.

Saya bukanlah orang yang terbaik dalam menggalas amanah ini. Namun, dengan amanah yang diberikan, saya cuba melaksanakannya dengan sedaya upaya, selaras dengan kata-kata Saidina Abu Bakar R.A:

أيها الناس فإني قد وليت عليكم ولست بخيركم، فإن أحسنت فأعينوني، وإن أسأت فقوموني، الصدق أمانة، والكذب خيانة
“Wahai sekalian manusia, aku telah dipertanggungjawabkan ke atas kamu dan bukanlah aku yang paling baik dari kalangan kamu. Sekiranya aku memerintah dengan baik maka bantulah aku. Dan sekiranya aku memerintah dengan buruk, maka perbetulkan aku. Kebenaran itu merupakan amanah, dan pendustaan itu adalah sebuah pengkhianatan.”

Saidina Abu Bakar mengaitkan ucapan sulungnya sebagai khalifah dengan mengaitkan sempadan antara kebenaran dan juga pendustaan. Ini kerana taklifan itu berdiri di antara dua persimpangan ini.

Saya mengharapkan kerjasama daripada semua jabatan dan agensi samada di peringkat kerajaan mahupun rakyat, untuk sama-sama membina negara selaras dengan konsep yang digambarkan oleh Saidina Abu Bakar iaitu sekiranya saya menguruskan dengan baik bantulah. Sekiranya mengurus dengan buruk, perbetulkanlah.

Bahkan Saidina Umar pernah mendoakan sesiapa yang membetulkannya,

رحم الله امرأ أهدى إلي عيوبي
“Allah merahmati orang yang memberitahu kesilapanku.”

Justeru, kita perlu sama sama merancang hala tuju negeri, agar seiring dengan Islam sebagai agama persekutuan, dan juga seiring dengan undang-undang tubuh kerjaan negeri Perak.

Berdasarkan perancangan, langkah pertama yang akan saya usahakan ialah mengumpulkan agensi yang berkaitan dengan portfolio yang diamanahkan ini, untuk mendapatkan gambaran situasi dan masalah semasa.

Ini kerana di dalam konsep السياسة الشرعية meletakkan keperluan memahami realiti فقه الواقع. Bahkan kaedah yang masyhur dalam menentukan hukum ialah:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره
“Hukum terhadap sesuatu adalah cabang daripada gambarannya.”

Kaedah ini menggambarkan bagaimana sistem untuk penentuan hukum sesuatu perkara memerlukan kepada gambaran yang jelas. Bahasa mudah kita, untuk menyelesaikan sesuatu masalah, perlu fahami masalah.

Sunnah ini hakikatnya sebagai satu sistem universal yang terpakai dalam semua sistem pengurusan dan petadbiran. Tidak terbatas kepada hukum feqah semata mata.

Insya-Allah, saya berusaha untuk bersikap terbuka untuk menerima nasihat dan kritikan membina dalam mengemudi bahtera ini, kerana kita perlu meneladani hadis Nabi S.A.W:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، فَكَانَ الَّذِينَ فِى أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِى نَصِيبِنَا خَرْقًا ، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا . فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا ، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا
“Perumpamaan orang yang berdiri di atas garisan ketetapan Allah (iaitu orang yang menyuruh kemakrufan dan mencegah kemungkaran) dan orang yang terjerumus dalam kemungkaran adalah bagaikan suatu kaum yang membuat undian dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian lagi di berada di tingkat bawah kapal tersebut. Yang berada di tingkat bawah, apabila inginkan air, pasti ia terpaksa melalui orang-orang di atas. Mereka berkata, “Apa kata kalau kita membuat lubang sahaja, supaya tidak mengganggu orang yang berada di atas kita”. Seandainya yang berada di tingkat atas itu membiarkan orang-orang di bawah mengikut kehendak mereka, pasti semuanya akan binasa. Namun, jika orang tingkat atas melarang orang tingkat bawah berbuat demikian, pasti mereka selamat dan selamat pula semua penumpang kapal itu.”

Sebab itulah berdasarkan hadis ini, Islam menyediakan sistem komunikasi dan juga sistem kerjasama. Bersama sama menaiki kapal, dan bersama sama menjaga keselamatan semua penumpangnya.

Semoga Allah S.W.T memberkati usaha kita dalam membina kehidupan sebagai seorang hamba-Nya, yang hanya mengharapkan petunjuk dan hidayah daripada-Nya.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Memangku Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau – HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -