ADUN ziarah keluarga mangsa panahan petir

- Advertisement -

SIK: Selepas kemarau agak lama tiba-tiba penduduk di sini dikejutkan dengan kejadian ribut kencang petang semalam sehingga menyebabkan banyak rumah rosak.

Lebih menyedihkan lagi dua orang pemuda di Kampung Hujung Bechah, Sik terkorban akibat terkena panahan petir kira-kira jam 6.15 petang.

- Advertisement -

Pemuda terbabit Mohd Zulkefli Kasim, 44 dan Idrus Ahmad, 34 dikatakan berada di bangsal di hadapan rumah ketika kejadian petir dan ribut berlaku.

Mereka dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah mereka kemudian dibawa ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor menziarahi kediamanan mangsa ribut

Kejadian ribut yang berlaku itu memusnahkan puluhan rumah, kedai dan bangunan kerajaan di daerah berkenaan.

ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor menziarahi keluarga mangsa kejadian sambil melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku.

“Kita akui, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga ahli keluarga mangsa petir dan ribut dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi yang berlaku ke atas mereka,” ujar beliau di sini.

Ribut turut memusnahkan puluhan rumah di daerah Padang Terap. Kejadian serupa pada petang Isnin lepas berlaku di beberapa kampung di DUN Anak Bukit dan Pengkalan Kundur.

Kejadian ribut di Kedah berlaku hampir setiap hari sejak seminggu lalu, mengakibatkan puluhan rumah rosak teruk antaranya di Jerlun, Pokok Sena dan Jerai.- HARAKAHDAILY 8/4/2020

- Advertisement -