Warkah PKP: Buat yang hilang pangkat, darjat

- Advertisement -

KITA melalui musim PKP yang gawat , politikus PH yang kepeningan bak diisolasi dalam bilik kurungan , serta ketololan mereka untuk terus menebarkan kebencian, intriq dan polemik tentang kerajaan baharu.

- Advertisement -

Kemeroyanan mereka bukan kaleng-kaleng, mantan Menteri , Timbalan Menteri , mantan pimpinan kerajaan negeri , mantan pegawai-pegawai lantikan politik kerajaan PH sehinggalah ALP YADIM yang mula menghidu akan dihalau keluar daripada pejabat berhawa dingin.

Manusia ini menampakkan wajah mereka yang sebenar bila jatuh terjelepuk, bahasa kesat dan kasar melalui hantaran media sosial dan dibalas dengan cercaan berjemaah pada netizen.

Menunjukkan rakyat meluat dan merayakan kejatuhan mereka, tiada yang bersimpati dan berempathy.

Biarlah manusia jalanan ini kembali semula ke jalanan, bahkan sesuai dengan bahasa carut marut mereka yang sangat jijik.

Mereka juga pakar dalam bab melabel , mengedit poster maya, memanipulasi kenyataan-kenyataan rasmi, pandai mengolah ayat diluar konteks.

Bergentayangan berita berita palsu dan separa benar daripada kelompok kecundang ini di medsos sehingga masyarakat awam semakin menjarakkan diri daripada kelompok kuasa ini.

Avatar PH sehinggalah sosok mantan Menteri PH mendendangkan lagu kerajaan pintu belakang untuk meletakkan kerajaan Perikatan Nasional dikandang orang salah dipandangan masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Mereka mengkritik keras surat Tuan Guru Abdul Hadi kepada pemimpin Arab dan melabelkan Duta Khas PM ini sebagai bohong .

Anak-anak muda kail panjang sejengkal ini naif mengenai siapa Tuan Guru Presiden PAS, saat mereka masih kanak-kanak berhingus hijau , Presiden PAS telah menjadi perunding dalam banyak isu umat Islam sedunia, Iraq, Yaman, Acheh, Bosnia,Afghanistan dan banyak lagi bersama-sama pimpinan gerakan Islam sedunia.

Otak anak-anak muda kurang adab ini mungkin menganggap Tuan Guru adalah nelayan pantai Rusila yang hanya tahu mencandat sotong.

Apa engkau tahu?, baru kenal beberapa buah buku haraki terjemahan sudah merasa alim rabbani bukan kepalang. Memang kalian memalukan!.

Pasca 18 Mac 2020, medsos merancak dengan tembakan rambang pemimpin PAN ,DAP dan PKR menghentam kepimpinan negara dalam mengendalikan krisis pandemik mendunia ini.

Segalanya tidak kena dimata dan akal mereka , memperlekeh Menteri Kesihatan, meragui kompetensi Majlis Keselamatan Negara, malah mendesak Parlimen bersidang untuk membincangkan kembali inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Lagak gaya mereka serba tak keruan dan menyondol apa sahaja seperti “kerbau pendek ” kelaparan makanan ruji.

Lain pula rentak gaya pemimpin DAP seperti LKS , beria – ria memohon agar Parlimen bersidang segera namun seperti fenomena menarik apabila hantaran-hantaran idea dimedsos pemimpin Dap kini diserang oleh penyokong-penyokong mereka sendiri.

Semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan, mereka gagal merakyatkan agihan ekonomi. Lihat sahaja isu e-wallet dengan bantuan RM30 yang akan terus menjadi kenangan dan kemurungan rakyat.

Pemimpin PH wajib memahami, saat begini rakyat hanya perlukan makanan bukan isu-isu kontroversi.

Perut mereka lapar, jiwa mereka dalam ketakutan kerana setiap hari menghitung kematian dan meratib angka baru pesakit.

Dada bergelombang takut dan mengunjurkan siapalah kawan-kawan yang positif Covid atau PUI, manakala sang muslim pula kesayuan kerana mendengar laungan azan berkumandang namun jasad mereka hanya terantai dalam tembok penjara kediaman.

Muslim rindukan kemeriahan Ramadan dan berhariraya, namun wabak ini akan menyita kegembiraan mereka.

Tak kurang pula ahli-ahli masjid yang sedang dikuarantin dan yang telah kembali mengadap Ilahi. Euforia kesedihan ini menyebabkan tingkah politik pemimpin PH mengundang kebencian massa.

Penulis sebenarnya sedih apabila memerhatikan status dan entri kawan-kawan lama yang hilang kuasa dan harkat sosial di medsos.

Ada yang mengusahakan perniagaan korban dengan harga murah tapi hilang adab dengan ulama , saya yakin kalian akan membayar harga yang mahal dengan penghinaan kamu terhadap Tuan Guru Presiden PAS.

Apabila netizen meratib akan memboikot perniagaan kalian maka saat itu kalian akan tahu langit tinggi atau rendah.

Ada pemimpin PH yang sebenarnya kurang sihat jasad, pernah diserang stroke, dipotong kaki akibat diabetik namun musim Covid 19 ini mereka makin menggila , kesurupan, menfitnah dan menyeranah.

Teman, hidup ini ada dosa dan ada pahala, semuanya akan dihitung dan berhujung natijahnya.

Tak mudah bagi pimpinan PH yang hilang gaji ,elaun dan pelbagai kemudahan untuk menelan pahatan takdir , kesedihan yang perih dan mendalam namun masih berbau kesombongan terus menuai dosa di media sosial.

Sayang sekali,masa yang sangat berharga ini dimusim PKP , mereka tak gunakan untuk beribadah dan bermuhasabah. Parti PAN dan NGO di belakang mereka paling rakus menelanjangi adab dan akhlak .

Pelbagai penistaan kepada PAS terutamanya terhambur termasuk dalam isu penjualan arak yang sebenarnya bukan keputusan kabinet,namun mereka terlebih lajak daripada laju. Pendokong PAS setia dengan prinsip Islam, mereka bukan hamba DAP .

Amilin PAS berintima’ dengan perjuangan ini untuk mengibar panji dan syariat Islam, jika kerajaan PN melakukan kesalahan,pastinya dikritik .

Kepada seluruh Malaysia yang membaca warkah ini, aku pohon agar kalian rendahkan suhu politik negara, redamkan api kebencian, berikan ruang masa dimusim PKP ini untuk al Quran, Qiam, puasa sunat, bermunajat.

Penuhi media sosial dengan kerukunan dan pesan-pesan yang indah. Pemilik alam ini sedang mengajar kita sesuatu nilai, hargai keluarga dan sahabat taulan, maafkan kesilapan ,ramaikan kawan dan jaringan persahabatan.

Hikmah besar bila semua tempat maksiat ditutup, persundalan terhenti, pemborosan sirna, ramai menjadi jinak disejadah cinta Ilahi. Pemimpin PH , aku hanya ingin mengajak kalian menjadi manusia yang waras dan manusiawi.

Bukan semua perkara perlu dipolitikkan, semakin kalian bertingkah kemeroyangan maka sedarlah kalian bukan lagi titik pesona dalam arus politik negara.

Cubalah bersabar seketika teman-teman PH, krisis ini hanya berkala sekali dalam satu abad, nanti bergeraknya awan hitam Covid 19 dilangit dunia maka kita kembali berpencak politik, setuju?

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis adalah AJK PAS Pusat,Aktivis Bantuan Kemanusiaan Tanpa Sempadan) – HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -