Stok beras mencukupi – Che Abdullah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Stok beras negara dijamin berada pada kadar yang mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri, Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata kedudukan stok beras di peringkat kilang, borong dan runcit sentiasa pada kadar konsisten iaitu purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik setiap masa.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang dan membuat pembelian panik kerana kerajaan sentiasa memantau bekalan makanan di pasaran mencukupi dalam jangka masa tertentu demi memenuhi keperluan rakyat.

- Advertisement -

Hal ini kerana, pengeluaran padi dan beras tempatan masih berterusan seperti biasa, iaitu dengan penghasilan 70 peratus untuk keperluan negara termasuk 30 peratus dari beras import.

Katanya, ini bagi memenuhi keperluan bulanan sebanyak 200,000 tan metrik beras sebulan.

“Isu seterusnya ialah agar bekalan makanan ini sampai kepada rakyat kerana tidak ada guna sekiranya ada bekalan makanan yang banyak tetapi rakyat di luar sana tidak dapat keperluan makanan tersebut.

“Oleh itu, semua rantaian makanan diambil berat oleh kerajaan. Kita ada di pasaran 400,000 hingga 500,000 metrik tan beras (sebulan) dan hanya 200,000 metrik tan beras diperlukan rakyat pada setiap bulan.

“Ini juga tidak mengambil kira stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang berada dalam negara,” katanya ketika mengadakan lawatan di Kilang Beras Faiza Sdn Bhd di Taman Perindustrian Subang di, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Industri Padi Beras, Azman Mahmood dan Pengurus Pemasaran Kanan (Wilayah Tengah) Faiza Sdn Bhd, Jadwa Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, Syarikat Beras Faiza juga diarahkan kerajaan untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras dalam negara dan beras yang diimport dari luar negara.

Selain itu, katanya, kerajaan juga sentiasa melihat peluang daripada negara negara lain antaranya seperti Myanmar untuk menampung kekurangan beras negara sekiranya ia berlaku dalam tempoh ini.

Bagaimanapun beliau berkata bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana semua proses dari segi rantaian makanan bukan sahaja beras tapi pengeluaran padi itu sendiri berjalan secara berterusan pada masa ini, ujarnya.- HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -