PRIHATIN PKS tepat bagi terus sokong ekonomi

- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau ‘PRIHATIN PKS (Tambahan)’ yang diumumkan YAB Perdana Menteri. Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) yang berjumlah RM10 bilion yang diwujudkan khusus untuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) secara langsung akan mampu untuk menyokong pengeluaran dan penawaran di dalam pasaran. Sebagai salah satu sektor dalam pembangunan ekonomi negara, sektor PKS sekarang menyumbang hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

Sokongan yang diberikan oleh Kerajaan melalui pakej ini bakal menjadi pelengkap dalam usaha untuk menyokong kitaran ekonomi negara. Melalui Pakej PRIHATIN terdahulu bantuan berjumlah RM128 bilion diwujudkan khusus untuk meringankan beban rakyat, yang secara langsung juga akan menyokong permintaan. Justeru bagi mengekalkan keseimbangan ekonomi, pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) ini dilihat akan membantu PKS untuk meningkatkan pengeluaran mereka yang juga secara langsung akan menyokong penawaran.

Selain daripada itu kami juga berpandangan bahawa faktor lain yang juga penting untuk dikawal selia oleh Kerajaan adalah paras harga. Untuk memastikan segala bantuan yang ditawarkan oleh pakej-pakej tersebut memberi manfaat dan kesan maksima kepada rakyat dan juga PKS, maka harga haruslah dikekalkan pada paras optimum. Semua pihak haruslah mengoptimumkan penggunaan bantuan ini supaya tidak berlaku tekanan inflasi. Ini bermakna rakyat, bukan sahaja harus terus berbelanja dengan berhemah, malah harus bekerja dengan gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.

- Advertisement -

Berdasarkan statistik, Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia meningkat kepada 1.3 peratus pada bulan Februari 2020, berbanding bulan yang sama tahun 2019. Namun ini merupakan penurunan berbanding kadar pada bulan Januari 2020 iaitu pada 1.6 peratus. Data-data daripada penganalisa pula menjangkakan kadar inflasi untuk tahun 2020 bagi Malaysia adalah sederhana di antara 1.7 peratus hingga 2.5 peratus.

Kami berpandangan bahawa paras harga mampu untuk dikekalkan, bukan sahaja dengan langkah-langkah yang tersebut di atas, malah juga dibantu oleh kejatuhan harga minyak yang sedang berlaku sekarang. Namun ini hanya boleh dilakukan sekiranya langkah pengoptimuman kos dilakukan dengan komprehensif di semua peringkat, sama ada di pihak penawaran dan juga permintaan. Semua pihak juga perlu menyemak semula struktur kos mereka bagi memastikan harga boleh diturunkan dengan penurunan harga minyak. Penguatkuasaan di pihak Kerajaan juga perlu dilakukan bagi memastikan ini berlaku.

Di pihak PKS pula bantuan ini harus diterjemahkan dengan meningkatkan lagi pengeluaran mereka supaya keseimbangan ekonomi tercapai. Mengikut statistik Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) tumbuh pada 0.6 peratus pada bulan Januari 2020, susut sedikit daripada 1.3 peratus untuk Disember 2020.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

13 Syaaban1441H
7 April 2020 – HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -