PKP: Indeks jenayah turun 70 peratus

KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan, kadar indeks jenayah di seluruh negara menurun sebanyak 70 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan itu merupakan berita gembira kepada semua rakyat berikutan ada yang meluahkan kebimbangan.

“Ada ramai yang komen di dalam media sosial menyatakan kebimbangan rumah mereka kosong (balik kampung) takut jenayah semakin meningkat dan sebagainya.

Advertisement

“Jadi, dengan statistik yang diberikan oleh pihak polis ini menunjukkan indeks jenayah menurun sebanyak 70 peratus,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah menahan 403 individu yang melanggar PKP.

Bagaimanapun katanya, jumlah tersebut menurun berbanding sebanyak 554 tangkapan pada sehari sebelumnya.

“Walaupun ada penurunan, namun ia masih tinggi daripada sebelumnya,” ujarnya.

Tambah Ismail lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 347 individu telah direman dan 56 individu dijamin serta 537 individu dituduh di mahkamah.

Menurutnya, jumlah kumulatif individu yang ditanggap kerana ingkar PKP dari 18 Mac ingga 6 April 2020 adalah sebanyak 6,452 individu.- HARAKAHDAILY 7/4/2020