Kakitangan dalam fasa penyesuaian dasar Kerajaan PN

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim meminta isu kesilapan surat berkaitan kebenaran operasi kilang arak jangan keterlaluan meletakkan kesalahan kepada penjawat awam.

Menurutnya, kebanyakan penjawat awam kini sedang melalui fasa penyesuaian dengan dasar baru di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN)

“Kerajaan Perikatan Nasional telah menyatakan hasrat untuk mewujudkan hubungan kerja yang baik dengan penjawat awam.

- Advertisement -

“Penjawat awam bukanlah seperti lantikan politik yang selalunya diambil dari kalangan aktivitis yang bukan dari perkhidmatan kerajaan.

“Mereka berkhidmat kepada ‘government of the day’. Mungkin ada yang berlebih lebih sikit dan agak ‘berpolitik’. Kebanyakan adalah kakitangan awam yang berkhidmat jujur demi kepentingan negara,” katanya dalam penulisan di Facebooknya semalam.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya memaklumkan bahawa kerajaan membatalkan kebenaran operasi kilang arak berkenaan.

Ia berikutan tular di media sosial, mengenai kritikan pelbagai pihak yang terhadap kelulusan operasi kilang arak Heineken dan Carlsberg dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, sekiranya terdapat kekaburan dasar sehingga adanya kekeliruan menyebabkan kesilapan seperti yang telah berlaku, ia bukan tidak boleh diperbetulkan.

Malahan katanya Menteri dan Timbalan Menteri serta segala komponen parti politik utama dalam Perikatan Nasional tidak perlu mengambil masa yang lama untuk membuat pembetulan.

“Ada teguran, dibincang dengan baik, tidak perlu berpolemik, masalah diselesaikan dengan segera tanpa perlu tindakan yang keras. Pegawai akan laksanakan dasar kerajaan.

“Semua memahami isunya dengan jelas dan tiada ‘pejuang-pejuang arak’ dalam Perikatan Nasional,” tambahnya lagi.- HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -