GU edar 1000 pek makanan setiap hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap hari, kira-kira 1,000 pek diedarkan NGO Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak – Geng Ustaz (GU) di beberapa kawasan berikutan ramai rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19 di Malaysia.

- Advertisement -

Kawasan yang menerima manfaat dalam Misi Bantuan Sebungkus Nasi, Sejuta Kesyukuran itu antaranya di sekitar Shah Alam, Gombak iaitu Hulu Klang, Gombak Setia, dan Sungai Tua, sekitar Hulu Selangor, Langkawi, Kedah dan Sabah.

Rata-rata yang menerima sumbangan tersebut terdiri daripada rakyat tempatan dan juga petugas-petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan petugas keselamatan.

Selain itu, bantuan berbentuk bahan mentah, keperluan asas, bahan basah turut diedarkan di kawasan-kawasan tertentu selain Geng Ustaz turut berusaha mencari dana menyediakan PPE untuk keperluan petugas barisan hadapan negara.

Setakat ini, setiap hari Geng Ustaz konsisten menyediakan pek makanan ke Klinik Kesihatan Serendah dan 100 pek untuk petugas keselamatan seperti pihak polis, RELA dan orang awam yang terputus bekalan makanan.

Sementara itu di Kedah, Geng Ustaz akan mengedarkan 5,400 kilogram Ikan Temenung ke 2,700 rumah dalam jangkamasa 18 hari bermula Khamis ini, manakala 60 pek keperluan harian diedarkan di Sabah.

Misi kebajikan yang dijalankan Geng Ustaz meletakkan petugas-petugas barisan hadapan sebagai sasaran utama dan juga asnaf dan keluarga yang terputus bekalan makanan.

Selain itu, Geng Ustaz juga cukup aktif dengan Siaran Langsung Kuliah Maghrib dan Subuh setiap hari berserta Majlis Sejuta Istighfar di Facebook mereka iaitu Geng Ustaz Cintakan Ulama’ yang disampaikan oleh Exco-Exco Geng Ustaz dan tetamu jemputan.

Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam melakukan kerja-kerja kebajikan, boleh terus menyumbang melalui akaun Maybank Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak 5647-9912-3969.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Wan Hairul +6019-335 0466 atau Mansor +6019-321 4585 atau Ustaz Hanif +6013-328 2917. HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -