Dua bangunan di Jalan Masjid India disenarai PKPD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap dua bangunan di Jalan Masjid India iaitu Bangunan Selangor Mansion dan Selangor Malaysian Mansion yang berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa tindakan itu diambil atas nasihat Menteri Kesihatan berikutan 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kedua bangunan itu.

“PKPD ini membabitkan penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan. Perintah ini berkuat kuasa hari ini sehingga proses pengesahan ke dari unit ke unit selesai.

- Advertisement -

“Dalam waktu 14 hari PKPD dilaksanakan, saringan kesihatan wajib kepada setiap penghuni dan mereka mesti berada di rumah masing-masing, tidak boleh keluar malah orang luar tidak boleh masuk ke bangun tersebut.

“Mereka yang mempunyai saudara mara atau rakan di situ tidak boleh mengunjungi kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Seperti biasa katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan mengawal kawasan berkenaan

Sebelum ini, kerajaan telah mengeluarkan PKPD di tiga kawasan iaitu di Simpang Renggam, Kluang, Johor; Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara Plaza City One.- HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -