Bahana arak kini lima beradik jadi yatim piatu

- Advertisement -

BAGAN: Bahana arak menyebabkan lima beradik kini menjadi yatim piatu setelah bapa dan ibu mereka maut akibat kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu mabuk yang melanggar pasangan suami isteri tersebut.

- Advertisement -

Dalam tragedi 9 Februari lalu, Khairizul Mohamad Noor, 38 dan Zuriana Hassan, 35 yang menaiki motosikal terlibat kemalangan itu pada jam 5 pagi di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara dekat susur ke Perai.

Akibat pelanggaran tersebut, Khairizul meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya itu koma sejak kejadian sebelum dilaporkan menghembus nafas terakhirnya di Hospital Seberang Jaya jam 1 pagi kelmarin.

Lima beradik tersebut iaitu Nur Afni Nirwani, 16; Nur Istana Nadira,14; Nur Erna Nabila, 12 dan Nur Qurratul Ain, 7; serta Muhammad Khairi Zafran, 1, kini tinggal bersama datuk mereka Hasan Ismail, 67, dan nenek, Asmalaili Mohd, 59.

Harapan anak-anak ini yang berhasrat melihat si ibu kembali pulih untuk menyemai semula kasih sayang ditagih mereka selama hampir dua bulan kehilangan bapa tidak kesampaian apabila Zurina turut menyusuli pemergian itu.

Menyelami dan bersimpati dengan nasib menimpa yatim piatu ini, PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan ziarah dan sumbangan ketika melawat ke kediaman datuk mereka di Bagan Jermal, di sini petang semalam.

Kunjungan tersebut diketuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga ADUN Penaga dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar serta anggota AMAL.

Ustaz Yusni menzahirkan harapan agar nasib anak-anak yatim piatu itu sentiasa diberi perhatian dan mahu tindakan susulan sewajarnya terutama meminda akta berkaitan agar hukuman lebih berat diberi bagi kes seperti itu.

Orang ramai yang prihatin boleh mendapatkan perkembangan lima beradik ini menerusi datuk mereka, Hasan di talian 0124515977 atau di alamat No.4, Pintas Berani 2, Jalan Mohd Saad, 12300 Butterworth.

Pihak yang ingin menghulurkan sumbangan juga boleh berbuat demikian menerusi akaun peribadi Hassan Bank Islam 07016027417252. – HARAKAHDAILY 7/4/2020

- Advertisement -