PRIHATIN PKS ringankan beban majikan, pekerja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah tambahan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin Tambahan membantu meringankan beban kewangan majikan dan bertujuan menjamin kira-kira 4.8 juta pekerja tempatan dalam negara.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu pertambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Sehubungan itu, di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah.

“Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan.

“Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja,” kata Muhyiddin dalam pengumumannya petang tadi.

Manakala tambah Muhyiddin, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja.

Melalui penambahbaikan ini kata Muhyiddin, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

Malah bantuan berkenaan adalah selama 3 bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan PERKESO.

Walau bagaimanapun, majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya enam bulan.

Iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu.- HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -