PKP: Warga terjejas diberi perhatian PAS Pasir Salak

- Advertisement -

PASIR SALAK: PAS Kawasan Pasir Salak amat menyedari bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika ini sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan penduduk setempat yang umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

- Advertisement -

“Latar belakang masyarakat di Pasir Salak kebanyakannya dari golongan petani yang menjalankan pertanian berasaskan padi dan sawit, selain penternakan lembu, kerbau, kambing dan ayam.

“Penduduk di sini memperoleh hasil pendapatan berasaskan  tanaman utama dan tanaman yang lain secara perladangan dan kebun kecil dan juga daripada hasil penternakan,” ujar Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pasir Salak, Rohizal Jamali Shaari.

Sehubungan itu katanya, PAS Pasir Salak telah mengumpul dana termasuk sumbangan penderma prihatin bagi menyediakan keperluan barangan dapur untuk diedarkan kepada penduduk memerlukan di DUN Kampung Gajah dan Sungai Manik.

Menurut beliau, beg-beg keperluan tersebut telah diedar di DUN Sungai Manik bersama sampul wang dari sumbangan orang ramai dan peruntukan kerajaan negeri yang disampaikan melalui ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin.

Manakala di DUN Kampung Gajah, sumbangan sama telah disampaikan Ketua Penerangan PAS Pasir Salak, Zaidi Haris sebagai mewakili ADUN Kampung Gajah, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Nordin yang juga EXCO Kerajaan Negeri Perak.

“PAS akur PKP yang disarankan oleh kerajaan dengan perintah Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar NGO dan bukan NGO supaya  tidak berlegar-legar untuk mengedarkan sumbangan, tetapi menyalurkan sumbangan melalui Pejabat ADUN masing-masing.”

“Namun demikian, kutipan sumbangan oleh PAS tetap diteruskan agar sumber dana untuk bantuan kepada masyarakat setempat tidak terputus dan orang susah terbela nasibnya di musim COVID-19 ini,” ujarnya memaklumkan usaha itu akan berterusan secara berperingkat.

Menurut beliau juga, sama ada PAS sebagai pembangkang atau pemerintah, agenda kebajikan tetap tidak berubah iaitu untuk membantu rakyat, apatah lagi kini memperolehi sumber daripada pelbagai pihak yang dermawan. – HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -