Operasi syarikat arak: Mohon penjelasan KPDNHEP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan berkaitan kebenaran kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia berikutan tular di media sosial terdapat surat memberi kebenaran kepada syarikat arak tersebut untuk beroperasi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memohon supaya kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menarik balik kebenaran tersebut sekiranya surat tersebut adalah tulen.

“Jika surat itu adalah tulen, saya memohon agar kerajaan khususnya kementerian berkaitan menarik balik kebenaran tersebut.

“Ia berikutan industri arak bukanlah satu perniagaan dan perkhidmatan yang termasuk di dalam kategori penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebagai seorang Muslim beliau dan umat Islam wajib berdiri menyatakan bantahan terhadap apa jua kelonggaran dan keistimewaan yang diberikan lepada industri arak.

Apatah lagi katanya, negara kini dalam situasi berdepan dengan ancaman wabak pandemik COVID 19 ini.

“Apakah nilai yang tinggal kepada seorang muslim yang berdoa kepada Tuhannya sedangkan membiarkan arak mengalir di bawah sejadah dalam keadaan dia bisa menyekatnya?” Soalnya.- HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -