Kes meningkat, namun terkawal kesan positif PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut pematuhan oleh seluruh penduduk negara ini agar usaha memutuskan rantaian COVID-19 dapat dicapai semaksimumnya.

- Advertisement -

Arahan wajib dijalani adalah kuarantin selama 14 hari bagi mereka yang pernah melakukan perjalanan ke luar negara atau sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19.

Ini kerana jangkitan dan penularan masih berisiko terjadi daripada kes import yang sejak awal memang dibimbangi mencetuskan gelombang baharu jika tidak dibendung dengan sewajarnya.

Manakala disiplin keselamatan dan kebersihan diri seperti mencuci tangan, memakai topeng muka, penjarakan sosial dan ketetapan lainnya mesti terus diamalkan sebagai langkah pencegahan.

Kepentingan perkara tersebut dijayakan oleh semua pihak berikutan terdapat 37 jangkitan termasuk lima kematian telah dikesan berpunca dari rakyat Malaysia yang melancong ke Itali.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengemukakan peringatan tersebut turut merayu agar masyarakat jujur memberikan maklumat jika mempunyai kaitan yang disebutnya.

Membentang laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), beliau memaklumkan angka korban telah meningkat kepada 61 kes, setakat 12:00 tengahari semalam.

Menurutnya, seramai 90 kes disahkan bebas yang menjumlahkan 1,005 pesakit telah pulih, manakala kumulatif positif COVID-19 adalah 3,662 kes berikutan pertambahan baharu sebanyak 179 kes lagi.

Peningkatan kes tersebut ujarnya, berpunca dari pengesanan aktif di tiga kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pun begitu kata Dr Noor Hisham, data tersebut masih mendatar dan terkawal di mana pelaksanaan PKP telah menyekat penularan tempatan dan kuarantin kepada yang pulang dari luar negara.

“Selain pelancong dari luar negara disekat masuk. Disebabkan itu, kemasukan (kes) dan penularan tiada. Jadi kita harap dapat meningkatkan pengesanan kes dan mengurangkan jangkitan dalam kalangan masyarakat,” terangnya.

Sehingga kini maklum beliau, seramai 4,488 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sejak 3 April lalu sedang menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin diwartakan oleh kerajaan.

Semua mereka itu jelasnya, disaring sebaik tiba dan individu bergejala diasingkan bagi menjalani ujian COVID-19, di mana jika positif dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan.

Langkah pencegahan juga agresif dilakukan menerusi kerja sanitasi atau nyah kuman yang dilakukan di premis ditetapkan di seluruh negara dengan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 6/4/2020

- Advertisement -