Arak bukan sektor pembuatan kritikal semasa PKP

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil maklum dengan penularan surat ‘rasmi’ yang membenarkan salah sebuah kilang arak untuk meneruskan operasinya dan dilabel sebagai termasuk ‘sektor pembuatan kritikal’ yang boleh dikeluarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemuda PAS sebagaimana umat Islam seluruh negara melahirkan rasa terkejut dengan kebenaran yang diberikan itu di mana ia dikatakan telah disahkan oleh kilang tersebut.

Sebagai sebuah parti Kerajaan yang memerintah bersama, perkara ini dilihat sangat bercanggah dengan kepentingan dan kewarasan seorang manusia untuk menilai arak ini adalah sebagai sebuah produk ‘essential’ yang dibenarkan secara rasmi oleh Kerajaan. Dalam hal ini, Pemuda PAS merasakan ianya adalah suatu tindakan yang perlu dikecam sekerasnya.

Pemuda PAS menghormati hak non-Muslim dalam hal ini, namun perlulah diingatkan bahawa memasukkan minuman alkohol di dalam senarai penting (kritikal) adalah satu tindakan yang keterlaluan sekali gus menafikan kepentingan industri lain yang lebih wajar untuk diutamakan berbanding minuman beralkohol.

- Advertisement -

Pemuda PAS berpandangan Kerajaan seharusnya mendidik rakyat agar menjauhi budaya meminum arak kerana telah terbukti ia lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat. Ia dapat dilihat melalui statistik kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk sebelum PKP dilaksanakan pertengahan Mac lalu.

Pemuda PAS berharap jemaah Menteri dapat membincangkan secara tuntas perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet dan membuat penilaian semula terhadap kebenaran yang telah diberikan itu. Desakan kami ialah surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan tersebut perlu dipertimbangkan untuk ditarik kembali demi menjaga kemaslahatan rakyat. Jika tidak, negara perlu bersedia dengan kemurkaan yang lebih besar daripada Allah S.W.T akibat kelekaan membenarkan keputusan sebegini terlaksana di bumi Malaysia ini.

Sekian.

“Stay Home”
“Duduk Rumah”
“Malaysia Sejahtera”
“Kita Mesti Menang”

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 6/4/2020

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/562878/pemandu-mabuk-rempuh-sekatan-pkp

- Advertisement -