Laporan polis terhadap pemimpin PAN

- Advertisement -

PASIR PUTEH: PAS Pasir Puteh, Assabiqun dan Pekida membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dianggap membuat kenyataan jelik terhadap Presiden PAS.

Laporan polis itu dibuat Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh semalam.

Hadir sama Setiausaha PAS Pasir Puteh Mohd Judin Samad dan Pengerusi Pekida Md Zaki.

- Advertisement -

Pada catatan di laman sosial dipercayai milik seorang pemimpin PAN, menghantar kenyataan jelik terhadap Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Catatan terbabit antara lain berbunyi ‘Duta bertaraf menteri, akhirnya termakbul sudah habuan atas persekongkolan sebuah pengkhianatan politik penuh hina dan celaka, seorang bernama Tok Guru…”.

Drs Zainuddin yang juga bekas Adun Limbongan berkata, beliau menuntut penama terbabit memohon maaf secara terbuka kepada Presiden PAS.

“Kami mendesak pihak berkenaan menarik balik segera kenyataannya di laman sosialnya dan meminta maaf secara terbuka kepada pemimpin PAS.

“Kenyataan seperti itu juga menjejaskan nama baik Yadim memandangkan kami difahamkan dia pernah berkhidmat dengan agensi milik kerajaan Persekutuan terbabit,” katanya di sini.

Menurutnya Yadim sebuah institusi agama dan dakwah terjejas teruk dengan kenyataan jelik membabitkan seorang pegawainya.

Baru-baru ini Tuan Guru Abdul Hadi dilantik sebagai Duta Khas bertaraf Menteri ke Negara Timur Tengah oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.- HARAKAHDAILY 5/4/2020

- Advertisement -