Edar bantuan ketika Covid-19 lebih rumit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Situasi mengedarkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat krisis wabak jangkitan Covid-19 dilihat lebih rumit ketika musim banjir.

- Advertisement -

Menurut exco sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia, Zuriati Yaakob, situasi tersebut diceritakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Muhammad Mat Sulaiman yang mana kini giat mengedarkan keperluan asas kepada masyarakat setempat.

Situasi tersebut dilihat rumit memandangkan jumlah yang terkesan akibat Covid-19 lebih tinggi berbanding mangsa banjir secara umumnya, selain mangsa banjir lebih mudah dilihat dengan mata kasar berbanding rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Kalau banjir senang sikit nak urus sebab kita dapat kenal pasti rumah mana yang terkesan sebab banjir, senang nak pergi tempat banjir, tetapi bila Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah yang terkesan hampir keseluruhan.

“Kita pun tahu, kebanyakan masyarakat yang menetap di kampung, banyak buat kerja kampung, ada yang kerja menoreh getah, yang kerja petani, dan lain-lain itu, jadi mereka ini terkesan,” ujarnya.

Jelas beliau, situasi tersebut amat berbeza dengan bantuan yang diberikan ketika banjir dimana rakyat yang terkesan akibat Covid-19 lebih tinggi berbanding mangsa banjir.

Bahkan, menurut beliau, beliau yakin rata-rata tempat juga turut terkesan dengan situasi PKP sekarang dan berharap agar sumbangan orang ramai dapat diberikan kepada semua yang memerlukan semampu yang mungkin.

Sebanyak 400 kampit beras 5kg diedarkan di Mengkebang, selain Muslim Care Malaysia turut memberi bantuan keperluan asas khususnya ibu tungga.

Selain itu, Muslim Care Malaysia juga turut memberi sumbangan berupa minuman bertenaga, makanan kering dan juga topeng muka di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Sementara itu, di Pulau Pinang pula, sebanyak 200 kampit beras 5kg diedarkan. – HARAKAHDAILY 5/4/2020

- Advertisement -