Pendidikan dan tujuan pendidikan

- Advertisement -

COVID-19 yang sedang mengamuk di seluruh dunia menyebabkan hampir semua negara memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut acuan mereka. Malaysia juga termasuk dalam senarai negara yang mengenakan PKP untuk seluruh negara.

Malahan ada kawasan tertentu di Hulu Langat dan Simpang Renggam dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Cabaran besar di sebalik PKP dan PKPD ialah untuk memutuskan rangkaian COVID-19 melalui penguatkuasaan PKP iaitu mendidik masyarakat Malaysia untuk mengikut arahan duduk di rumah.

Proses memastikan masyarakat duduk di rumah penuh dengan cabaran inilah disebut sebagai pendidikan. Pendidikan di dalam erti yang luas adalah usaha untuk mengajar, memberi nilai, memaknakan, proses pengalamian oleh guru kepada murid.

Konsep pendidikan adalah sangat luas. Konsep ini selari dengan konsep Islam bila mana bermula Nabi Muhammad S.A.W mendapat wahyu untuk mendidik manusia yang jahil kembali kepada fitrah iaitu Islam. Besar tanggungjawab yang ditanggung oleh Rasulullah S.A.W begitu juga besar tanggungjawab yang diberikan kepada para guru ketika ini.

- Advertisement -

Tidak kira guru agama atau guru subjek bidang ilmu dunia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Malaysia proses pendidikan adalah berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Menurut FPK;

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Tujuan pendidikan

Berdasarkan FPK, tujuan pendidikan di Malaysia adalah untuk mengembangkan potensi setiap anak di Malaysia berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan Tuhan. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa FPK yang sedia ada di Malaysia sudah selari dengan kehendak Islam.

Namun begitu, isu yang wajib dibincangkan sekarang mengapa tujuan pendidikan dan falsafah sudah jelas, namun kebobrokan di dalam masyarakat seperti masalah akhlak, penagihan dadah, dan tingkah laku di luar norma sosial khususnya Melayu-Islam masih meluas dan sering dibicarakan.

Mengapa isu ini terus berlaku walaupun setiap tahun kita diberitahu kisah kejayaan dan kemenjadian murid melalui peperiksaan UPSR, PT3, SPM, STPM dan peperiksaan awam lain. Ini adalah kerana sudut pandang kejayaan dan kemenjadian anak murid hanya diukur dengan berapa bilangan A sehingga semua murid hanya diukur dengan kaedah yang sama iaitu peperiksaan di atas kertas melalui ujian dan peperiksaan serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Masyarakat perlu mengubah persepsi mereka dari berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan pembentukan karakter dan watak positif hasil dari tujuan pendidikan yang jelas. Negara maju seperti Jepun dan Finland memberi penekanan yang kuat terhadap pembentukan akhlak dan nilai semasa permulaan sekolah rendah lagi kerana ia adalah asas kepada tujuan pendidikan yang lebih besar.

Howard Gardner menulis bahawa manusia ini mempunyai kepelbagaian kecerdasan namun ia tidak ditekankan kepada murid pelbagai kecerdasan. Maka masyarakat hari ini perlu mengubah minda dan persepsi mereka bahawa kepandaian anak-anak bukan sahaja perlu diukur melalui akademik malahan juga kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka.

Ibu bapa juga boleh membimbing minat dan kecenderungan anak-anak dengan memberi panduan kepada anak-anak memilih sistem pendidikan yang sesuai. Ini kerana tujuan pendidikan kepada anak-anak bukan sahaja untuk keperluan dunia malahan matlamat lebih jauh untuk kehidupan selepas dunia iaitu akhirat.

PROF MADYA DR RIDZWAN CHE RUS
Dekan
Fakulti Teknikal dan Vokasional
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – HARAKAHDAILY 4/4/2020

- Advertisement -