Pemuda PAS seru penyatuan, jauhi kebencian

- Advertisement -

SUSULAN kenyataan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang lalu, pelantikan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah dilihat mendapat reaksi yang sangat positif di kalangan rakyat Malaysia. Ini disebabkan kelayakan dan pengalaman beliau dalam menangani beberapa isu di Timur Tengah selama ini. Pemuda PAS yakin hubungan diplomatik yang lebih baik akan terjalin dengan negara-negara Timur Tengah dan menatijahkan hubungan sosio-politik dan ekonomi 2 hala yang lebih mampan untuk kebaikan Malaysia dan ummah keseluruhannya.

Namun begitu, Pemuda PAS mendapati ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan lantikan beliau khususnya di kalangan parti serpihan PAS iaitu PAN. Walaupun mereka seringkali mendakwa kononnya menjunjung prinsip Islam, namun semuanya hilang apabila mereka secara berjamaah mengkritik, mencela malah sehingga men’celaka’kan pelantikan TGHH. Tiada lagi akhlak dan kewarasan sebagai sesama umat Islam yang tinggal, yang ada hanya sifat dengki, dendam dan kebencian yang berpanjangan.

- Advertisement -

Pemuda PAS ingin menasihati pendukung PAN bahawa dalam situasi negara diuji dengan wabak COVID-19, saranan ulamak supaya kita menjauhi dosa dan mendekati Allah hendaklah dilaksanakan. Dengki, dendam dan kebencian itu datang dari syaitan dan merupakan perkara dosa. Lebih baik beristighfar, memuji Allah dan berdoa agar kita sama-sama melalui ujian wabak COVID-19 ini dengan selamat.

Pemuda PAS juga menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati, serta fokus mematuhi segala arahan sepanjang tempoh PKP ini. Mesej yang perlu sama-sama kita sebarkan adalah mesej keselamatan, keharmonian dan kasih sayang, bukan mesej dengki, dendam dan kebencian.

“Stay Home”
“Duduk Rumah”
“Malaysia Sejahtera”
“Kita Mesti Menang”

USTAZ AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/4/2020

- Advertisement -