Covid-19: 90 pusat kuarantin telah dibuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 pusat kuarantin telah dibuka di seluruh negara dengan seramai 4,933 orang kini dikuarantin sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) semalam melaporkan bahawa seramai 1,188 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kini sedang dikuarantin di pusat kuarantin wajib seluruh negara.

“Rakyat kita yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri hari ini.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, beliau menafikan berita kononnya penumpang pesawat yang tiba dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki kenderaan penjara.

“Kita ada mendapat berita bahawa penumpang dibawa ke pusat kuarantin dengan menaiki trak penjara. Ini adalah berita tak benar kerana semua penumpang pesawat akan dibawa dengan bas yang telah disediakan oleh kerajaan dan NADMA.

“Trak digunakan untuk membawa barangan mereka sahaja,” katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyebarkan berita palsu dan akan diambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Menurut Ismail, sehingga 3 April sebanyak 184 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan dengan berita palsu.

Bagaimanapun, sebanyak 20 kes telah dibuka dan sedang didakwa di mahkamah.

Berikutan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang menimbulkan kebimbangan rakyat dalam suasana negara kini berhadapan dengan penularan Covid-19.

Beliau juga mengharapkan agar semua rakyat bersama-sama kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.- HARAKAHDAILY 4/42020

- Advertisement -