Atheism mengikut kerangka Materialism

- Advertisement -

PERBINCANGAN hari ini

(1) Beberapa bentuk fahaman Atheism mula tersebar tatkala tersebarnya wabak COVID-19. Mereka menganggap bahawa Tuhan itu ‘tiada’ kerana membiarkan penularan wabak ini.

Ada dari kalangan mereka yang berhujah bahawa sekiranya Tuhan itu ada, sudah pasti berkuasa menyekat COVID-19. Ada pula yang menafikan kewujudan Tuhan atas alasan tidak boleh diterjemahkan dengan analisa.

(2) Banyak lagi point-point mereka yang jelas menggambarkan kepincangan mereka dalam memahami konsep bertuhan. Cuma yang pastinya mereka tiada hujah yang benar-benar masak ranum.

Tersebarnya penyakit bukan menjadi hujah Tuhan itu tiada. Ia sama sahaja apabila mereka mempersoalkan kalau Tuhan itu ada, kenapa masih ada orang jahat?

(3) Seolah-olah kewujudan orang jahat itu menjadi bukti ketiadaan Tuhan. Rata-rata yang berfahaman Atheism ini sangat kamceng dengan ideologi Materialism.

- Advertisement -

Iaitu ideologi yang terbina di atas dasar benda atau kebendaan. Menolak sebarang kepercayaan terhadap perkara ghaib atas alasan tidak terlihat oleh mata.

(4) Apatah lagi mereka menganggap bahawa di zaman moden ini tidak wajar mempercayai benda-benda yang tidak terlihat oleh mata. Lalu mereka berikan contoh hal-hal mistik, dan kehantuan.

Sebenarnya banyak contoh Materialism yang lebih bersifat realiti pada hari ini. Wajar untuk dibincangkan kerana bimbang ia menular tanpa sedar seperti virus.

Materialism golongan terdahulu

(1) Material dianggap sebagai benda. Benda pula dianggap sebagai sesuatu yang boleh diukur, seperti panjang x lebar x tinggi, atau digambarkan sebagai isipadu.

Golongan terdahulu menyembah material yang paling kuat, sebagai simbolik menyembah tuhan mereka. Atas alasan tuhan-tuhan (dewa) itu telah membantu memberi rezeki.

(2) Antaranya dewa musim bunga, dewa matahari dan sebagainya. Dewa-dewa itu tidak terlihat oleh mata mereka, melainkan sekadar andaian gambaran rupa paras.

Ada yang mengandaikan tuhan itu adalah kumbang, ada yang menggambarkan tuhan sebagai beruk, ada yang berkepala gajah dan macam-macam lagi.

(3) Semuanya berpunca daripada andaian mereka untuk menggambarkan rupa dewa-dewa yang dianggap sebagai tuhan untuk disembah itu.

Antara yang jelas disebut di dalam ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri gambaran dewa bagi segala dewa masyarakat Makkah, ialah patung Hubal.

Iaitu patung yang berupa manusia, dengan sebelah tangannya terputus. Bahagian sebelah tangan yang terputus itu disambung dengan batu akik khas berwarna merah.

(4) Walau bagaimanapun bentuknya, ia menggambarkan mereka itu cuba menggambarkan rupa tuhan. Walaupun tidak boleh dikatakan materialis totok.

Historical Materialism

(1) Materialism dan Atheism dasarnya menolak perkara ghaib. Hanya sekadar mengambil kira soal fizik atau fizikal. Justeru, para materialis dan Atheis hanya mengukur sesuatu itu sekadar mata kasarnya.

Contohnya, kemenangan itu mesti diukur dengan kepentingan-kepentingan yang diperolehi. Sekiranya sekadar menang, tapi nama tak dapat, hadiah pun tak dapat, ia cukup tak bermakna buat materialis.

(2) Bahkan jatuh bangun sebuah tamadun juga diukur dari segi materialnya. Kemodenan itu diukur dari segi teknologi dan ekonomi. Tak diukur dari sudut akhlak dan pemikiran.

Contohnya, sesebuah negara itu dianggap moden oleh mereka sekiranya teknologi dan ekonominya mantap. Biar sekalipun rakyatnya jahat belaka, dan jahil. Asalkan maju.

(3) Kalau dalam falsafah, materialism memberi pengaruh yang besar terhadap Karl Marx sehingga beliau terkenal dengan istilah Historical Materialism.

Historical Materialism adalah bersandarkan kepada keutamaan kuasa-kuasa ekonomi dalam perubahan sosial melalui sejarah, dan kesemua kuasa-kuasa ini akan terus untuk mengubah dunia.

Sehingga ia akan sampai ke tahap kemuncak iaitu Komunisme (Atheism). Dalam memahami pendekatan historical materialisme ini, terdapat dua istilah yang penting, iaitu dialektik dan materialism.

(4) Bahasa mudahnya, jatuh bangun sebuah tamadun dilihat dan diukur dari segi ekonominya. Tidak dilihat dari segi akhlak, budaya, spiritual atau apa-apa yang di luar jangkauan fizik.

Karl Marx VS Hegel

(1) Istilah dialektik mula digunakan oleh Hegel (1770-1831) yang berasaskan kepada pengasingan antara manusia dan Mutlak (absolute) atau dalam pemikiran Hegel yang disebut sebagai Tuhan.

Karl Marx antara tokoh falsafah yang terkenal dengan materialism dan menolak konsep ketuhanan. Walaupun beliau juga turut menggunakan istilah dialektikal, namun ia tidak sama dengan teori Hegel.

(2) Karl Marx menolak kenyataan Hegel yang menyatakan dunia adalah tidak lebih daripada satu pemikiran yang bermanifestasi ketuhanan. Banyak kajian yang menyatakan bahawa dialektik Hegel sebagai idealis dan Karl Marx sebagai materialis.

(a) Dialektik Hegel dikatakan idealis kerana beliau mempercayai bahawa dunia ini keseluruhannya berunsurkan spiritual. Ini kerana wujudnya elemen ketuhanan, maka ia tidak boleh menjadi ‘sesuatu yang lain’.

(b) Manakala Karl Marx pula menolak agama, dan dilihat sebagai materialis kerana Marx mempercayai sesuatu yang nyata dan menolak segala yang di luar jangkauan fizik (metafizik).

(3) Materialism adalah suatu perkara yang berlawanan dengan idealisme. Menurut Karl Marx, hanya material atau ekonomi sahaja benda yang nyata dan boleh diukur.

Dalam sebuah kehidupan kemasyarakatan, satu-satu yang nyata adalah masyarakat yang bekerja. Beliau membahagikan masyarakat menjadi dua kelas iaitu Buruh (proletariat) dan Borjouis.

(4) Sebab itulah gagasan utama Karl Marx adalah memperjuangkan kaum buruh, atau dengan kata lain, membela kaum Proletariat tersebut untuk mencapai kesamarataan dengan Borjouis.

Kesimpulan

(1) Kesimpulannya, Karl Marx menganggap bahawa manusia tidak boleh dilihat secara abstrak, tetapi perlu dilihat secara konkrit. Iaitu sebagai ‘makhluk yang bekerja’ yang melibatkan ekonomi.

(2) Justeru, apa yang menjadi realiti pada hari ini, apabila wujudnya persoalan-persoalan ala-ala Atheism yang terikat dengan kerangka materialism, kita boleh faham puncanya.

Biasanya persoalan Atheism akan berbaur materialism kerana menganggap ketuhanan itu mesti boleh diukur. Mereka mengukur kewujudan Tuhan itu berdasarkan kemampuannya.

Iaitu kemampuan menyekat COVID-19, kemampuan memberi hidayah dan menjadikan manusia semuanya baik belaka. Penghujahan mereka hakikatnya terikat dengan kerangka materialism.

(3) Sebab itulah kita lihat sejarah Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan Atheism materialism di zamannya. Namruz yang berfahaman Atheism, tidak bermasalah dengan kaumnya yang menyembah batu.

Mereka menganggap material batu sebagai lambang kepada kekuatan, sekalipun kepercayaan mereka terhadap dewa-dewa itu dijelmakan mengikut andaian mereka.

Sama juga Tamadun Mesir atau tamadun terdahulu yang menjelmakan dewa Horus, dewa Rha dan sebagainya kerana kepercayaan mereka terhadap dewa itu terikat dengan rangka materialism.

(4) Allah S.W.T berfirman;

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.”


(al-Baqarah: 55)

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/4/2020

- Advertisement -