Tangani isu alam sekitar untuk keselamatan manusia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui bahawa berlaku pertembungan dalam dasar perubahan iklim dengan kehendak manusia dalam kehidupan di era moden ini.

- Advertisement -

Terang beliau ia melibatkan aspek penambahan penduduk, keperluan makanan dan peningkatan ekonomi menyebabkan tanah-tanah terpaksa diteroka dan kayu balak ditebang bagi pembangunan.

Perkara tersebut dikupas hurai oleh beliau ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk “Melestari Alam” yang bersiaran langsung di BERNAMA TV, sebentar tadi.

“Kita tidak menghalang aspek-aspek pembangunan. Yang penting mesti melestarikan alam, menjadi agenda dalam pembangunan tersebut. Tak boleh abaikan. Kadang-kadang ketamakan manusia ini melampau.

“Kita harus akui bahawa apa sahaja pembangunan mesti ikut peraturan perundang yang ada. Sebab kalau kita boleh ikut peraturan yang ada, bermakna pembangunan berjalan, ekonomi kita boleh meningkat. Di waktu yang sama, alam sekitar juga dapat kita jaga.

“Dan industri juga saya fikir dia, dia ada dua aspek. Satu mungkin kita perlu melihat apa yang kita boleh bagi kepada industri yang mematuhi piawai alam sekitar. Contohnya, pelepasan cukai kepada produk bahan-bahan yang bersifat mesra alam sekitar ini.

“Insentif, kita bagi. Tetapi kilang-kilang yang industri yang mengeluarkan karbon dan sebagainya, dia juga mesti bertanggungjawab. Jadi kita, kita hendak kedua-dua, pembangunan berjalan, di waktu yang sama, alam sekitar kelestarian dapat dijaga,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh tanggungjawab kementeriannya yang berperanan memastikan bekalan air diperlukan penduduk negara ini dapat dipenuhi dengan sebaiknya, serta mematuhi piawaian keselamatan dan kesihatan antarabangsa.

Berhubung perkhidmatan pembetungan, beliau memaklumkan pihaknya memberi perhatian kritikal untuk memastikan operasi berkaitan berjalan sebaiknya termasuk memantau sisa kumbahan haram.

“Dan satu aspek lagi yang mungkin tidak kita sedar ialah soal sisa klinikal. Soal sisa klinikal ini sebenarnya Jabatan Alam Sekitar, kita memastikan supaya sisa buangan klinikal ini diurus dengan sempurna.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP ini, sisa klinikal ini sekarang ini bertambah. Sekarang ini bertambah meningkat 27 peratus yang kita ambil daripada pusat-pusat kesihatan, klinik, hospital, dan sebagainya.

“Yalah, makna sarung tangan, ‘mask’, dia punya pakaian dia, dan semua ini sisa klinikal ini dipungut setiap hari, dibawa setiap hari, dan kita terus pantau syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan ini untuk pastikan sisa ini dibuang mengikut jadual yang betul, dan kawalan yang betul,” terangnya.

Dato’ Tuan Ibrahim turut menarik perbincangan kepada perkembangan kajian saintifik terhadap sistem pembetungan melibatkan pembiakan virus yang memungkinkan penularan COVID-19.

Menurutnya, di negara ini kerjasama dibuat oleh pihak NAHRIM, SPAN dan IWK, bersama dengan Universiti Teknologi Malaysia sebagai kajian kemungkinan di mana banyak negara juga melakukan demikian. – HARAKAHDAILY 3/4/2020

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!