Rancang kewangan keluarga dalam tempoh PKP

- Advertisement -

UTAMAKAN asas keperluan bukan kehendak perasaan

Dalam situasi PKP sekarang ini yang dilanjutkan sehingga 14 April, ia turut memberikan implikasi ke atas kewangan khususnya mereka yang bekerja di sektor swasta, industri pelancongan dan perhotelan, perniagaan sendiri dan lain-lain.

Begitu juga dengan penggunaan barangan dapur di rumah masing-masing apabila untuk ke pasar raya dan kedai runcit juga memakan masa kerana kebenaran memasuki kedai dihadkan untuk sekali masuk. Memakan masa yang lama dan perlu beratur bagi mengelakkan ‘berhimpun’ di dalam kedai dan untuk menjaga jarak sosial.

Tempoh PKP bukan tempoh bercuti dan berhibur. Setiap individu dan keluarga perlu meletakkan sasaran yang jelas cara perbelanjaan dan penggunaan dengan merancang perbelanjaan yang hemah iaitu utamakan sebarang perbelanjaan dan pembelian yang asas dan bukan menurut kehendak atau kemahuan nafsu semata-mata.

Malah dalam tingkatan sesuatu perkara penting kita boleh ukur dengan:

(1) Asas ضروريات
(2) Kemahuan حاجيات
(3) Keselesaan تحسينيات

Ketepikan atau tahan seketika dalam situasi krisis ini dari selera yang bersifat kemahuan dan keselesaan. Yang paling utama dan penting ialah memastikan keperluan asas dilengkapi.

- Advertisement -

Perbelanjaan yang tinggi dengan ketiadaan pendapatan atau kekurangan kemasukan akan memberikan beban dalam kehidupan. Kewangan adalah faktor penting dalam meneruskan kehidupan. Disebabkan itu, Islam mensyariatkan nafkah wajib pada zahir ialah melibatkan kemampuan khususnya kewangan pada menampung 3 asas:

(1) Makan minum.
(2) Pakaian.
(3) Tempat tinggal.

Firman Allah S.W.T:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ ..

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu)…”

(al-Talaq: 7)

Penuhi 2 asas: Tidak berlapar dan keselamatan

Asas dalam kehidupan manusia ialah tidak berlapar dan menjaga keselamatan iaitu merasa aman dari ketakutan. Mana-mana individu atau keluarga yang tidak memenuhi 2 asas keperluan ini pastinya berada dalam keadaan susah dan kesempitan malah tekanan kebimbangan yang melanda.

Malah inilah peranan dalam sebuah negara yang bertanggungjawab ke atas rakyat di bawahnya. Aspek kecukupan sehingga tidak berlaku kebuluran dan tidak berlapar serta keamanan dan keselamatan dari ketakutan serta ancaman adalah dua asas utama yang dicari dan mesti diusahakan untuk dipenuhi.

Begitulah dalam sebuah keluarga, perancangan yang dibuat mesti memastikan 2 asas ini dipenuhi. Dalam situasi COVID-19 sudah pasti aspek keselamatan menjadi pemerhatian yang tinggi. Dan dalam tempoh PKP ini, perbelanjaan mesti diurus agar ahli keluarga merasai kecukupan agar tidak berlapar.

Firman Allah S.W.T:

لِإِیلَـٰفِ قُرَیۡشٍ * إِۦلَـٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَاۤءِ وَٱلصَّیۡفِ * فَلۡیَعۡبُدُوا۟ رَبَّ هَـٰذَا ٱلۡبَیۡتِ * ٱلَّذِیۤ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعࣲ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۭ

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

[Quraysh: 1 – 4]

Aspek lain hiburan, keseronokan, permainan dan lain-lain adalah sampingan berbanding 2 asas ini. Sehubungan itu, fokus utama yang dirancang perbelanjaan mesti menjurus kepada apa yang disebutkan iaitu:

(1) Faktor kecukupan makanan.
(2) Faktor keselamatan.

Lihat bagaimana tafsiran mengenai mimpi oleh Nabi Yusuf. Baginda A.S menekankan persediaan dalam menghadapi masa kemarau atau krisis yang bakal melanda negara Mesir, lantas saranan yang dibuat ialah:

(1) Kerja bagi menyediakan kecukupan.
(2) Sediakan bahagian bagi simpanan bekalan bagi kegunaan kecemasan.

Sederhana: Tidak boros dan tidak kedekut

Dalam Islam amalan bersederhana adalah mulia. Tidak kira waktu biasa, lebih-lebih lagi di waktu krisis. Sikap boros dan kedekut akan memberikan kesan negatif. Menghilangkan manfaat dan menyekatnya dari diperolehi.

Bersederhana adalah tindakan yang efisien dan memastikan manfaat sampai. Islam tidak menghalang berbelanja namun dituntut belanja pada perkara yang:

(1) Memberi manfaat.
(2) Berdasarkan kemampuan.
(3) Tahu beza tahap antara keperluan, kemahuan dan keselesaan.

Islam menegah dari bersifat kedekut kerana:

(1) Menegah seseorang dari memperolehi haknya.
(2) Mengurangi hak yang sewajarnya.
(3) Hilangnya sifat ihsan, belas kasihan.

Justeru, dalam merancang kewangan faktor kecukupan adalah pertimbangan yang penting perlu dibuat oleh sesebuah keluarga. Kecukupan setiap keluarga adalah berbeza bergantung kepada jumlah kemasukan dan sasaran dalam perbelanjaan. Maka bersederhanalah dalam sesuatu perbelanjaan yang dibuat di kala tempoh PKP ini.

Firman Allah S.W.T:

وَالَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذٰلِكَ قَوَامًا

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara keduanya.”

(al-Furqan: 67)

Berhemah dan elakkan pembaziran

Perancangan kewangan yang berhemah ialah harta diuruskan dengan baik dan mengikut piawaian pematuhan syariah. Selain itu, sifat syukur dan qanaah (merasai berpada) adalah penting bagi memastikan perancangan kewangan secara berhemah berjaya dicapai.

Perancangan ini melibatkan:

(1) Menyediakan kiraan yang bersesuaian dalam perbelanjaan mengikut harian atau mingguan.

(2) Menyusun bayaran komitmen atau hutang yang berkaitan agar perbincangan dapat dilakukan dalam keadaan terdesak.

(3) Membentuk gaya hidup yang sesuai pada kadar kemampuan dengan menyerapkan ilmu yang sahih mengenai kehidupan dan pengurusan kewangan.

Sikap membazir boleh terjadi kerana terlalu mengikut nafsu dalam berbelanja. Membazir ialah mensia-sia sesuatu yang tidak sewajarnya. Akhirnya berbelanja pada sesuatu secara berlebihan dan disia-siakan. Sedangkan lebihan yang pada kadar sepatutnya boleh diagih, disalur atau dibelanjakan untuk kegunaan keperluan yang lain.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا * ٱلۡمُبَذِّرِینَ كَانُوۤا۟ إِخۡوَ ٰ⁠نَ ٱلشَّیَـٰطِینِۖ وَكَانَ ٱلشَّیۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورࣰا

“… dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

[al-Isra’: 26-27]

Jangan hanya pentingkan diri sendiri sehingga memudaratkan orang lain

Dalam tempoh PKP, semua rakyat dan keluarga perlu elak dari panik yang akhirnya menyebabkan tindakan yang tidak terkawal. Antara kesannya ialah hanya mementingkan diri tanpa mempedulikan orang lain yang turut berhadapan dengan tekanan yang sama.

Dalam keadaan ini, boleh terjadi lagi bahkan telah terjadi ‘pembelian panik’ oleh sebahagian masyarakat. Ini dapat dilihat apabila stok bekalan barangan jualan yang melibatkan makanan minuman dan keperluan asas dapur meningkat oleh pembelian yang lebih dari had harian biasa sebelum PKP.

Malah yang tidak eloknya apabila, pembelian individu yang terlalu melampau sehingga individu atau keluarga lain tidak dapat membeli kerana kehabisan stok. Sikap melampaui ini tidak wajar dan tidak elok. Dalam keadaan kita berjaga-jaga dan memikirkan kecukupan keperluan diri dan keluarga sendiri namun Islam tetap menegaskan keprihatinan terhadap orang lain terutama kalangan umat Islam.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”

[Riwayat al-Bukhari]

Justeru, dalam membeli stok bekalan, usah melampaui batas sehingga melupai orang lain yang akhirnya boleh menyebabkan kesusahan atau kemudaratan kepada mereka pula.

Usaha permohonan sumbangan bagi yang berkelayakan

Terdapat juga saluran-saluran bantuan sumbangan sama ada dari pihak kerajaan, agensi tertentu, Lembaga Zakat, pertubuhan NGO, masjid serta surau dan lain-lain lagi.

Apa yang boleh kita buat ialah:

(1) Tolong sampaikan hebahan agar yang memerlukan dapat memohon.
(2) Bagi yang layak untuk memohon, usahakan pertolongan.

Buat masa sekarang ini, permohonan bantuan sumbangan juga sedikit sebanyak meringankan beban. Ada yang memberi sumbangan dari sudut wang tunai dan ada juga berbentuk asas barangan dapur. Kesemua ini memang tidak mencukupi namun ia meringankan beban di samping membantu perancangan kewangan yang kita usahakan sendiri.

Bagi Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan Bantuan Khas COVID-19 iaitu di web:
https://www.zakatselangor.com.my/bkc19/

Jadi orang ramai tolong sebarkan bagi membantu orang lain yang layak sekalipun kita tidak memerlukan. Jangan disimpan apatah lagi disorokkan hebahan bantuan ini kerana di luar sana masih ramai yang kesempitan dan sangat berharap kepada sumbangan.

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دِينًا، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا، وَلَأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخٍ لِي فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ، يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ، شَهْرًا

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, sedangkan amal yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau diberikan kepada diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya atau engkau melunasi hutangnya atau membebaskannya dari kelaparan. Dan sesungguhnya (jika) aku berjalan bersama saudaraku untuk menunaikan satu hajat atau keperluan lebih aku sukai daripada aku beri’tikaf di masjid ini, iaitu masjid Madinah selama sebulan.”

(Riwayat al-Tabrani)

Terus berdoa, Allah Pemberi Rezeki

Sebagai umat Islam, dalam kita berusaha jangan lupa berdoa dan memohon pertolongan dari Allah. Kerana Allah Maha Kaya, Maha Pemberi, Maha Mengurniakan Rezeki dan memiliki segala sifat keagungan dan kemurahan.

Musibah yang sedang dihadapi ini agar menjadi pemangkin dan peringatan kepada umat Islam untuk lebih dekat kepada Allah. Dalam keadaan sulit, kita mengingati akan keagungan-Nya. Dalam keadaan senang kita mengingati akan kemurahan dan belas kasihan-Nya.

Sebab itu berusahalah dan teruskan bersabar memohon pertolongan Allah.

Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Baginda S.A.W bersabda:

أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

“Sesungguhnya bagi Allah S.W.T apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya ada ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya. Perintahkanlah dia untuk bersabar nescaya kamu akan mendapat ganjaran.’’

(Riwayat al-Bukhari)

Tenangkan diri dan latih jiwa kita bahawa apa yang berlaku sama ada dalam keadaan nikmat atau musibah kesemuanya ujian dari Allah. Lengkapkan diri dengan sifat syukur tatkala mendapat nikmat dan sifat sabar tatkala diuji dengan musibah.

Suhaib meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/4/2020

- Advertisement -