KAS dijenamakan semula sebagai MEWA

Integrasikan sektor alam sekitar dan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar telah dijenamakan semula sebagai Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA)
sebagaimana dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, semalam.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, penjenamaan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada MEWA.

“Pewujudan MEWA akan membolehkan sinergi antara dua aspek pengurusan air yang selama ini terpisah, iaitu Sumber Air dan Perkhidmatan Air. (Di mana) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab terhadap sumber air.

“Sementara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan air yang melibatkan bekalan air dan pembetungan. Kedua-dua fungsi ini disepadukan di bawah MEWA.

“(Ini) Bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air di negara ini ke arah memastikan sumber dan bekalan air yang mencukupi dan berkekalan. Kementerian juga akan mengintegrasikan sektor alam sekitar dan air,” jelas beliau.

Selain itu, Tuan Ibrahim memaklumkan, MEWA juga bertanggungjawab terhadap isu perubahan iklim, biokeselamatan dan juga memacu pertumbuhan ekonomi hijau, selain pelestarian alam sekitar.

Menurutnya, MEWA akan turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran awam serta pembudayaan tentang kepentingan alam sekitar dan air. – HARAKAHDAILY 2/4/2020

- Advertisement -