COVID-19: Industri teknologi tempatan jadi penyelamat?

teknologi
- Advertisement -

KETIKA banyak industri tempatan menjadi mangsa kepada pandemik COVID-19, masih ada beberapa jenis industri yang bukan saja masih ‘bernafas’ malah makin diperlukan berdasarkan permintaan semasa. Antara industri yang boleh memainkan peranan penting ketika musim wabak ini ialah industri bioteknologi, bioperubatan dan farmaseutikal. Malah industri teknologi makanan, kimia, teknologi maklumat dan robotik juga memainkan peranan penting untuk membantu pihak berkuasa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan operasi penyah-jangkitan.

Kita tahu bidang perubatan negara sedang mengalami kekurangan bekalan topeng muka, sarung tangan getah, pakaian perlindungan peribadi (PPE) serta kit ujian saringan pantas untuk COVID-19. Di negara-negara lain yang lebih parah dilanda COVID-19 pula, mereka kekurangan katil hospital, alat bantuan pernafasan (ventilator), termasuklah beg mayat (HRP). Permintaan yang tinggi benda-benda tersebut ketika ini menjadi peluang syarikat-syarikat tertentu untuk menggandakan pengeluaran produk-produk mereka.

- Advertisement -

Maka adalah wajar bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk terus memperkasakan industri-industri teknologi tempatan yang bukan saja menjadi keperluan untuk di peringkat nasional atau Antarabangsa, malah sebagai penampan bagi memulihkan ekonomi negara. Permintaan yang tinggi untuk produk-produk atau teknologi tertentu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Lantas membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan masyarakat.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai hutan hujan tropika antara yang tertua di dunia di samping kedudukan kepelbagaian bio (biodiversity) di antara 12 negara-negara paling tinggi di dunia, Malaysia menawarkan pelbagai potensi serta peluang untuk diterokai melalui industri bioteknologi khususnya. Sewajarnya Kerajaan perlu menghidupkan kembali projek Lembah Bio (BioValley) seperti yang pernah dicadangkan dalam Rancangan Malaysia ke-8 dahulu, di mana ia sepatutnya menjadi hub kepada pembangunan industri bioteknologi tempatan.

Bioteknologi adalah komponen penting yang mendukung kemajuan dalam teknologi bioperubatan dan farmaseutikal kerana ia saling berkait. Sebagai contoh, kit ujian saringan sesuatu penyakit biasanya melibatkan agen reaksi kimia (reagent) yang dihasilkan oleh syarikat bioteknologi. Begitu juga sarung tangan getah atau fabrik tertentu untuk menghasilkan produk-produk perlindungan peribadi. Ia melibatkan bahan mentah yang boleh diolah dari kepelbagaian bio negara ini, mudah didapati dan kos sepatutnya lebih rendah.

Teknologi Maklumat pula boleh membantu bidang bioinformatik yang cukup penting dalam dunia perubatan. Bioinformatik penting untuk menganalisa dan menterjemah data biologi kerana ia dapat membantu pihak berkuasa mendapat gambaran tepat mengenai sebarang statistik yang melibatkan kesihatan awam. Bidang bioinformatik biasanya diintegrasi dengan penggunaan teknologi Data Raya (Big Data) dan kepintaran buatan (A.I) bagi meningkatkan lagi kecekapan operasinya.

Oleh yang demikian bukanlah suatu utopia jika kewujudan lembah silikon tempatan di Cyberjaya sekarang ini boleh dilengkapi dan diperkasakan dengan merealisasikan projek lembah bio pula. Ia bukan saja mampu menyelamatkan ekonomi negara melalui industri tempatan seperti bioteknologi tersebut, malah ia dapat menjadi destinasi alternatif kepada para pemain industri dan para pelabur luar negara untuk memilih negara ini bagi menghadapi kesan Perang Dagang China-Amerika Syarikat.

Industri-industri berteknologi tinggi tersebut juga perlu dijadikan penaung kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tempatan agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat dari ekonomi dan ekosistem perniagaan yang terbina. Perlu wujud keseimbangan antara dominasi golongan pemodal-pemodal besar dengan para usahawan di peringkat rakyat marhaen. Oleh itu kerjasama erat antara Kementerian-kementerian dan agensi-agensi Kerajaan amat perlu bagi menjayakan agenda ini.

Bagi memulihkan ekonomi negara dan rakyat pasca COVID-19 nanti, beberapa elemen yang boleh dijadikan industri alternatif wajar dikenalpasti. Berdasarkan kajian saintifik dan kesesuaian dengan cuaca tropika di negara ini, tumbuhan kontroversi seperti ketum dan ganja boleh diolah untuk dimanfaatkan dalam bidang perubatan melalui kawalan yang ketat. Penanaman ketum dan ganja boleh dibuat dalam skala besar jika Kerajaan melihatnya sebagai suatu bentuk industri tempatan baru yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Kajian saintifik mengenai penggunaan ketum dan ganja bukan sahaja telah dijalankan oleh badan-badan Antarabangsa malah tempatan. Di Amerika Syarikat, ganja termasuk dalam kategori ‘industrial hemp’ yang dikawal ketat sebarang produk darinya. Manakala untuk ketum pula, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) antara agensi-agensi Kerajaan yang mengiktiraf khasiat positif dari ketum untuk dikomersialkan secara terkawal. Pilihan kini di tangan Kerajaan.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia
2 April 2020 – HARAKAHDAILY 2/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -