Perkukuh PN walau di waktu krisis

- Advertisement -

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) atau MCO peringkat pertama untuk memerangi wabak COVID-19 dijangka berakhir 31 Mac ini.

Ia walau bagaimanapun telah dilanjutkan oleh pihak Kerajaan ke 14 April bermakna rakyat Malaysia akan terpaksa ‘stay at home’ selama 14 hari lagi dengan harapan perintah ini akan berjaya memutuskan rantaian wabak ini dan negara akan kembali normal selepas daripada itu.

Negara-negara lain di dunia turut mengambil langkah masing-masing dan seluruh penduduk dunia terganggu kehidupan dan rutin harian mereka akibat wabak durjana ini.

Ternyata mentadbir dan mengurus sebuah negara di dalam situasi cemas dan tidak menentu ini sungguh mencabar kerana sama ada wabak ini berjaya ditangani ataupun menjadi bertambah buruk tertakluk kepada kejayaan langkah-langkah yang diambil dan dalam pada itu pihak bertanggungjawab perlu memastikan ekonomi negara terus berdenyut dan kehidupan serta kebajikan rakyat terus terbela.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin genap sebulan memegang jawatan 29 Mac ini setelah Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir tumbang. PH hilang kuasa apabila Tun melepaskan jawatannya menamatkan 22 bulan usia pemerintahan Kerajaan BERSATU, DAP, PAN. PKR dan WARISAN. Di dalam ketiadaan PM dan kerajaan itulah Yang Dipertuan Agong telah menggunakan kuasa Baginda untuk melantik seorang PM baru bagi membentuk sebuah Kerajaan untuk terus mentadbir negara.

- Advertisement -

Sebagaimana kita semua sedia maklum setelah berlaku beberapa siri rundingan melibatkan pihak Istana, Majlis Raja-raja Melayu, Ahli-ahli Parlimen dan yang lain, akhirnya Yang Dipertuan Agong memutuskan Tan Sri Muhyiddin dilantik menjadi PM kerana yakin dan berpendapat beliau mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Ketika Muhyiddin menjadi PM wabak ini telah pun mula menular dalam negara dan ia mula memuncak beberapa minggu selepas beliau membentuk kerajaan. Di waktu mencabar dan genting ini kita rakyat Malaysia sesungguhnya tidak punya banyak pilihan selain memberi sokongan dan kepercayaan kepada PM dan Kerajaan untuk bertarung dan membawa kita keluar dari nestapa ini.

Semua rakyat Malaysia mahu melihat kehidupan kita kembali normal, aktiviti ekonomi, politik dan sosial boleh berjalan seperti biasa, kedai-kedai dan pusat membeli-belah beroperasi, masing-masing dapat mencari rezeki sebagaimana sebelum ini, masjid dan surau dapat kembali dibuka, begitu juga IPT dan sekolah-sekolah, rakyat boleh bergerak bebas dalam dan luar negara.

Dalam keadaan ini penting rakyat menjadi patriotik, berdiri teguh bersama Kerajaan dan memastikan semua langkah dan tindakan yang diambil diberikan kerjasama dan dipatuhi dengan harapan dapat kita bersama-sama berjaya memulihkan dan membebaskan negara dari wabak ini.

Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion oleh PM baru-baru ini sangat ditunggu-tunggu rakyat di saat mereka semua ‘terpenjara’ di kediaman masing-masing. Dalam serabut dan gawat memikirkan nasib dan masa depan mereka angkara serangan wabak ini sekurang-kurangnya terubat hati rakyat apabila mendapat tahu pakej ini akan memberi manfaat kepada semua.

Majikan dan pekerja, pelajar, kakitangan awam dan swasta, warga pencen dan emas, anak-anak muda semua perlukan pembelaan kerajaan di saat kehidupan dan ekonomi mereka terjejas akibat langkah-langkah memerangi wabak ini. PRIHATIN cukup komprehensif dan rata-rata seluruh rakyat dilibatkan.

Dalam tempoh sebulan sebagai PM walaupun berhadapan dengan krisis yang cukup mencabar ini, Muhyiddin ternyata mendapat pujian rakyat sekali gus dianggap rakyat sebagai PM terbaik masa kini, pilihan Yang Dipertuan Agong yang paling baik buat negara dan rakyat.

Semoga parti-parti komponan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk Kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin akan sedar dan segera mengambil tindakan memperkukuhkan kedudukan mereka agar legitimasi kedudukan mereka sebagai Kerajaan tidak lagi dipertikai atau dicabar selepas ini.

Yang penting rakyat mahu melihat kerajaan yang jujur dan membela nasib mereka di waktu susah dan senang. Krisis hari ini walaupun cukup mencabar tetapi sesungguhnya menguji kecekapan Kerajaan dan kiranya dengan izin Allah S.W.T rantaian wabak ini berjaya diputuskan nama PM dan Kerajaan PN akan terus disebut-sebut.

Oleh itu BERSATU, PAS, BN, GPS dan parti-parti lain perlu bergerak ke hadapan meneguhkan hubungan sesama mereka di pelbagai peringkat. Krisis negara perlu diberi perhatian tetapi dalam waktu yang sama kedudukan PN juga perlu mantap, jangan menyerang sesama PN kerana musuh politik sebenar adalah PH.

Selesaikan masalah dalaman masing-masing dan pastikan PN ini satu gabungan yang kukuh dan ampuh. Rakyat mahukan keyakinan bahawa mereka boleh berpayung pada parti yang stabil dan yang memahami isi hati mereka. Jangan lagi mengulangi kesilapan PH sebelum ini, berebut-rebut untuk jawatan dan saling curiga-mencurigai sehingga memual dan membosankan rakyat.

Kerajaan ini tegak atas robohan Kerajaan PH yang lampau akibat kesilapan dan keghairahan pimpinan PH sendiri. Dengan robohnya PH dominasi DAP dalam Kerajaan Persekutuan turut dapat dipatahkan. Rakyat lega dengan perkembangan ini dan jika PN terus beroperasi dengan kukuh dan mantap tidak mustahil mereka akan terus memenangi keyakinan rakyat dan kekal berkuasa.

Di peringkat ini hubungan antara PAS dan BN khususnya Umno melalui Muafakat Nasional cukup baik dari peringkat tertinggi hinggalah ke akar umbi, kini dengan kehadiran PN keluarga politik yang ada menjadi semakin besar, tetapi insyaAllah bermanfaat buat semua dan disenangi rakyat.

Oleh itu segeralah memantapkan kedudukan PN dengan mekanisma dan formula yang terbaik supaya PN menjadi teguh dan rakyat akan terus menyokongnya. Sementara itu kita terus berdoa agar PM dan Kerajaan ini akan diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk mengharungi wabak ini dan terbit keluar dengan jayanya. Semoga selepas tamatnya perintah MCO, rakyat dan negara akan kembali pulih dan PN kekal memerintah kita sampai bila-bila.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/4/2020

- Advertisement -