PKP: Jalan lengang, rakyat patuh arahan

- Advertisement -

BANDAR BARU BANGI: Tinjauan Harakah hari ini di Hulu Langat mendapati masyarakat setempat khasnya mula sedar dan patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

- Advertisement -

Apatah lagi semasa kerja-kerja sanitasi awam telah dilaksanakan semalam juga mendapati situasi lengang dan hampir tiada kenderaan melalui kawasan tersebut.

Kawasan yang terbabit di Sungai Ramal dekat sini, terletak di dalam antara enam daerah zon merah iaitu Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Johor Bahru dan Kluang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang turut turun padang semalam menyaksikan kerja operasi sanitasi awam yang pertama kali diadakan itu dijalankan di Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang.

Beliau berkata operasi itu melibatkan antaranya sanitasi perabot jalan, kemudahan awam, pasar awam, laluan siar kaki, hab pengangkutan serta di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam daerah zon merah.

“KPKT memohon supaya komuniti setempat di kawasan yang terlibat untuk memberi kerjasama agar pelaksanaan kerja-kerja sanitasi awam ini dapat dijalankan dengan baik.

“KPKT akan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di tempat awam manakala bagi premis-premis persendirian, kerja-kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Rakyat turuti PKP

Harakah yang turut ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Presint 4 di Putrajaya petang ini mendapati jalan raya ke arah pusat pentadbiran negara itu kebanyakannya lengang.

Namun begitu wujud sekatan jalan yang didirikan di jalan-jalan utama.

Petugas media yang turut diiktiraf sebagai perkhidmatan penting negara (essential services) tidak mengalami apa-apa masalah ketika melalui sekatan-sekatan jalan ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah kelihatan tiba di bangunan kementerian pada jam 230pm, namun tidak dapat ditemuramah secara spontan kerana jadualnya yang sangat ketat.

Pada jam 5 petang ini, satu sidang media akan diadakan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19. – HARAKAHDAILY 31/3/2020

- Advertisement -