PAS rayu rakyat patuhi PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata wabak yang menular sekarang ini sangat bahaya boleh dijangkiti siapa sahaja hanya melalui kontak sosial dengan mereka yang positif Covid-19.

Malahan katanya, orang yang terkena Covid-19 ini mengambil masa yang agak lama dimaklumkan sampai 14 hari baru dapat dikesan.

“Cuba bayangkan kalau orang yang terkena wabak ini tidak tahu dia dijangkiti Covid-19 dan berjumpa dengan kita seterusnya adakan kontak sosial dengan orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus itu merebak kepada lebih ramai lagi.

- Advertisement -

“Oleh itu kita perlu memutuskan rantaian dengan duduk di rumah, kurang berhubung dengan orang ramai kecuali ada keperluan sahaja dibenarkan,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian berikutan jumlah kes positif pandemik Covid-19 semakin bertambah setiap hari termasuk kes kematian juga semakin bertambah kini mencecah 37 kematian.

Sekiranya kata beliau, masih ramai yang tidak patuh kemungkinan PKP akan dilanjutkan, itu tidak mustahil akan berlaku.

Menurutnya, jangan ulangi apa yang berlaku kepada negara Itali sehingga pusat untuk merawat pesakit Covid-19 sudah dipenuhi seolah-olah sedang mengalami kegawatan.

“Ambillah kaedah yang Islam ajar kepada kita ialah jangan melakukan kemudharatan dan jangan pula memudharatkan orang lain kerana kamu menjadikan Covid-19 tidak dapat dihentikan.

“Patuhi arahan kerajaan kerana ia berhubung dengan soal kemaslahatan semua orang.

“Kita harap 14 hari bulan ini kalau semua beri bekerjasama patuh PKP ini, Insya-Allah rantaian Covid-19 dapat dihentikan dan dapat menjalani bulan Ramadhan dengan menunaikan solat terawih di surau atau masjid,” ujarnya.

Idris turut menasihati supaya semua rakyat Malaysia memikul tanggungjawab dengan duduk di rumah supaya tidak membebankan pihak frontliner yang kini sedang bertungkus lumus membantu negara dalam menangani Covid-19.- HARAKAHDAILY 31/3/2020

- Advertisement -