COVID-19: Jangan dilupa saudara Islam di negara lain

- Advertisement -

DUNIA sedang dilanda wabak COVID-19 dengan lebih 700,000 orang telah dijangkiti dengan lebih 34,000 kematian dicatatkan di seluruh dunia. Setiap negara di dunia termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, China dan Rusia sedang bergelut untuk menanganinya daripada menular.

Walaupun setiap negara di dunia sedang bergelut untuk mengekang wabak COVID-19 dengan pelbagai kajian, peralatan dan ubat-ubatan serta menggunakan pelbagai teknologi, sekurang-kurangnya kita semua mempunyai pelbagai kaedah untuk menghalang wabak tersebut daripada terus merebak.

Namun dalam kekalutan dunia saat ini yang sedang melawan wabak COVID-19, kita seakan sudah lupa nasib saudara kita di Palestin, Yemen, Libya, Afghanistan, bangsa Rohingya di Rakhine dan di kem-kem pelarian serta bangsa Uyghur di Xinjiang. Tidak lupa juga kepada pelarian umat Islam di serata dunia sama ada di Eropah, Asia dan negara-negara lain di dunia.

- Advertisement -

Sebelum ini kita sudah mengetahui nasib dan keadaan mereka yang serba kekurangan sama ada dari segi makanan, ubat-ubatan, pakaian, tempat kediaman dan begitu juga kemudahan asas seperti elektrik, air yang bersih serta tempat tinggal yang sempurna. Jika kita di Malaysia walau boleh dikatakan mempunyai kemudahan yang agak baik, bagaimana pula keadaan dan nasib mereka yang serba serbi kekurangan?

Di kesempatan ini saya mengajak saudara-saudari rakyat Malaysia sama-samalah kita mendoakan untuk kesejahteraan mereka agar dijauhi dan dihindari wabak COVID-19. Jika kita bersedih dengan keadaan mereka dahulu, semestinya keadaan mereka sekarang lebih memilukan. Doakan lah mereka.

Esok, Kerajaan Qatar mengumumkan akan menyalurkan bantuan kepada lebih 100 ribu rakyat Palestin di Gaza. Jika kita berkemampuan sumbanglah untuk mereka, bukan sahaja rakyat Palestin tetapi umat-umat Islam yang sedang dalam kesusahan dan kepayahan seperti yang saya sebutkan tadi.

InsyaAllah, sedikit sebanyak kita mampu meringankan beban mereka. Sumbanglah melalui badan-badan mahupun NGO yang dipastikan benar dan diiktiraf seperti Yayasan Amal Malaysia atau Muslim Care supaya bantuan tersebut sampai kepada mereka.

Daripada Abdullah bin Umar R.A, sabda Rasulullah S.A.W;

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
]صحيح البخاري , كتاب المظالم , باب لا يظلم المسلم المسلم ولا يسلمه , حديث 2442 , عن عبد الله بن عمررضي الله عنه[.

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah S.W.T akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah S.W.T akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah S.W.T akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI – HARAKAHDAILY 31/3/2020

- Advertisement -