COVID-19 bantutkan pengajian: Ke arah zaman Dajal?

- Advertisement -

KELIHATAN COVID-19 ini sebahagian dari proses tapisan Ilahi bagi menguji iman para hambaNya.

Pusat pengajian ditutup. Talaqqi ilmu tidak lagi dibenarkan. Walaupun buat sementara waktu, tiada siapa boleh menjamin keadaan akan pulih seperti sedia kala.

Kesannya, budaya menuntut ilmu akan terbatas. Proses pengajian akan terbantut. Tanpa ilmu, manusia akan sesat. Orang jahil semakin ramai. Ruwaibidhoh bakal berleluasa.

- Advertisement -

Ia memudahkan agenda Dajal menyesatkan manusia. Hanya yang berilmu akan selamat. Ulamak yang ada mungkin boleh menyelamatkan diri mereka, tetapi tidak mampu menyelamatkan manusia lain yang tidak sempat menimba ilmu dari mereka kerana social distancing sekarang.

Kerana itu Nabi pesan, bila Dajal keluar di saat aku telah tiada, setiap orang perlu berhujah mempertahankan diri masing-masing.

Sabda Rasulullah S.A.W:

يخرُجْ وأنا فيكم ! فأنا حجيجُه دونكم ، وإن يخرُجْ ولست فيكم ، فامرؤٌ حجيجُ نفسِه ، واللهُ خليفتي على كلِّ مسلمٍ ،

“Sekiranya Dajal keluar sedang aku bersama kalian, nescaya aku akan mempertahankan kamu. Namun sekiranya dia keluar dan aku tidak lagi bersama kalian, maka setiap orang mempertahankan diri masing-masing. Allah sahajalah pelindung bagiku terhadap setiap Muslim.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

Kenapa Nabi tak sebut bila dia tiada ikutlah Ulamak yang menjadi pewarisnya? Kenapa Nabi tak sebut ikutlah jamaah Islam sebagaimana saranannya dalam Hadis Huzaifah al-Yaman?

Mungkin kerana ketika Dajal muncul, jamaah tidak lagi dapat berfungsi. Ulamak tidak mampu lagi didekati. Fenomena ini sedang kita saksikan sekarang.

Maka adakah kita sudah melengkapkan diri dengan ilmu secukupnya? Jika majlis ilmu semakin kurang, makin ramai yang jahil dan mengabaikan agama, itulah saat keluarnya Dajal. Kerana Nabi S.A.W bersabda:

لا يخرج الدجال حتى يذهل الناس عن ذكره

“Tidak akan muncul Dajal melainkan setelah manusia lalai dari membicarakan mengenainya.”

[HR Ahmad dan sahih menurut al-Haithami]

Juga kerana Nabi S.A.W bersabda:

يخرج الدجال في خفة من الدين ، وإدبار من العلم

“Dajal akan muncul pada saat orang meringankan urusan agama dan tidak mementingkan ilmu.”

[Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim]

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 31/3/2020

- Advertisement -