Rakyat Kelantan digesa patuh PKP, jaga kebersihan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 91 kes pesakit Covid-19 dilaporkan telah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah kumulatif mereka yang sembuh dan discaj dari wad adalah berjumlah 479 kes.

Jumlah tersebut merupakan rekod paling tinggi yang dicatatkan setakat ini sejak wabak pandemik Covid-19 melanda negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin melahirkan rasa syukur dengan perkembangan itu.

- Advertisement -

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat 156 kes baru dilaporkan pada hari ini termasuk empat kes di Kelantan.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 setakat ini sebanyak 2,626 kes di seluruh negara dengan 127 kes daripadanya di Kelantan.

“Sebanyak 94 kes dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 62 kes pula memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diumumkan petang tadi.

Namun begitu, beliau melahirkan rasa dukacita dengan pertambahan tiga kes kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 sebanyak 37 kes.

Sehubungan itu Dr Izani meminta rakyat di negeri itu mempertingkatkan penjagaan kebersihan dan keselamatan diri serta keluarga dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi kebaikan bersama.- HARAKAHDAILY 30/3/2020

- Advertisement -