PKP: Sabar dan jangan bersedih

- Advertisement -

KERESAHAN diri, keluarga dan masyarakat kelihatan apabila diumumkan YAB Perdana Menteri mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 baru-baru ini.

Rata-ratanya menunjukkan reaksi pelbagai setelah lebih seminggu masing-masing berpeluang berada di rumah dan menariknya turut terhasil pelbagai resepi-resepi masakan tular di media sosial.

Sebenarnya itulah fitrah kejadian manusia yang mempunyai emosi dan perasaan gembira, sedih termasuk juga ada yang mulai terasa kesunyian dan kesedihan lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga.

Tidak kira apa jua sebab dan faktornya, sudah pastinya ianya perlu diurus bagi mengatasi situasi dan keadaan yang tidak selesa tersebut agar tidak berpanjangan atau mendatangkan mudarat yang lain pula.

- Advertisement -

Suasana kita berhadapan ujian besar hari ini sewajarnya mestilah dihadapi dengan tenang sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-‘Imran, ayat 139 yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

Kebiasaan kita mudah untuk memberi pesan kepada ahli keluarga, sahabat handai dan orang lain untuk bersabar tetapi hakikatnya kepada diri sendiri sukar untuk dilaksanakan jika tidak betul caranya, betul tak?

Kesabaran juga dikatakan ada tahap tertentu yang boleh dikawal dengan pelbagai tindakan yang wajar kerana kita yakini bahawa sabar adalah sebahagian daripada keimanan kepada Allah S.W.T.

Yakin dan percayalah dengan janji Allah S.W.T sebagaimana Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud;

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Di samping itu al-Quran seharusnya menjadi peneman kita di kala ini juga sebagai persiapan dan persediaan untuk memanfaatkan peluang bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Antaranya kita berusaha membaca al-Quran sekurang-kurangnya dua helai atau empat muka surat setiap kali selepas solat fardu mencukupkan satu juzuk sehari.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah, ayat 38 yang bermaksud;

“Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

Al-Quran adalah terapi terbaik dan penawar segala permasalahan kehidupan di dunia dan di akhirat, namun bagi kita insan biasa perlulah memanfaatkan ruang untuk mendalami dan memahami isinya melalui pengajian sepanjang hayat.

Antaranya dengan menonton rancangan ilmu tadabur ayat-ayat suci al-Quran di kaca televisyen juga merujuk berbagai bahan bacaan daripada para ‘alim ulamak.

InsyaAllah dengan masa lain pula terisi dengan pelbagai aktiviti lain termasuk menjana idea membina dan mengembangkan ilmu pengetahuan diri keluarga dan masyarakat dalam pelbagai platform.

Menyingkap pesanan Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat;

“Meskipun ujian yang hadir tidak pernah berhenti tetapi tetap yakinlah. Fajar yang cerah pasti akan menerangi kegelapan malam.”

Oleh: ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 30/3/2020

- Advertisement -