Kemungkinan sebaran COVID-19 melalui dubur-mulut

- Advertisement -

JANGKITAN virus severe acute respiratory syndrome coronavirus (SARS-CoV-2) yang menyebabkan penyakit coronavirus (coronavirus disease 2019-COVID-19) umumnya telah diketahui menyebabkan gejala jangkitan pada sistem pernafasan (respiratory symptoms)

- Advertisement -

Sebaran virus tersebut adalah melalui titisan air yang keluar melalui semasa batuk, bercakap atau bersin. Virus ini tidak disebarkan melalui sebaran udara (not airborne). Saiz virus tersebut yang agak ‘berat’ berserta titisan air akan menyebabkan ia akan jatuh ke permukaan dan tidak berterbangan.

Kerana itu jarak sosial 1 meter dijustifikasikan. Kerana itu juga perlu elak menyentuh permukaan di tempat awam. Jika terpaksa (macam troli), elak sentuh bahagian muka kecuali selepas cuci tangan.

Kerana alasan itu juga, sampel ujian diagnostik untuk COVID-19 akan melibatkan ambilan sampel daripada nasopharyngeal swab (calitan putik kapas dalam hidung) .

Menurut laporan perincian klinikal oleh beberapa jurnal perubatan, pesakit COVID-19 yang mengalami gejala cirit-birit (gastrointestinal symptoms) juga perlu diberikan perhatian.

Laporan jurnal Nature Medicine menyebutkan tentang 10 pesakit kanak-kanak COVID-19 yang awalnya positif ujian daripada sampel nasopharyngeal swab tetapi tidak mengalami jangkitan paru-paru (tiada pneumonia) dan tidak perlu berada dalam ICU.

Setelah menerima rawatan, lapan daripada mereka mencatatkan keputusan negatif daripada sampel nasopharyngeal swab, tetapi ujian ke atas sampel rectal swab (calitan putik kapas dalam lubang dubur) telah mencatatkan keputusan positif.

Empat daripada lapan pesakit itu kemudian dibenarkan discaj setelah dua kali ujian sampel rectal swab mereka negatif. Namun dua daripada empat pesakit itu kemudiannya kembali positif pada ujian sampel rectal swab biarpun sampel nasopharyngeal swab mereka negatif.

Inilah yang membimbangkan para virologist. Mereka khuatir ‘penyikiran’ virus tersebut daripada sistem usus lebih lama berbanding daripada sistem pernafasan.

Ertinya, biarpun pesakit catatkan dua kali negatif ke atas sampel nasopharyngeal, mereka mungkin masih positif ujian daripada sampel rectal swab.

The New England Journal of Medicine dalam laporan menyebutkan daripada 1,099 sampel pesakit COVID-19 dewasa, 5 peratus mengalami gejala pening atau muntah dan 3.8 peratus mengalami cirit-birit.

American Journal of Gastroenterology pula melaporkan 48 peratus (98 orang) pesakit daripada 204 pesakit yang positif COVID-19 yang mengalami gejala cirit birit (98 orang), hanya 34.3 peratus sahaja yang sembuh dan discaj berbanding 60 peratus daripada106 pesakit yang tiada cirit-birit.

Lebih membimbangkan, laporan Journal of America Medical Association menyebutkan, gambaran electron microscope daripada 4 sampel tinja pesakit covid menunjukkan terdapat virus COVID-19 hidup, dan 2 daripada sampel itu daripada pesakit yang tidak mempunyai gelaja cirit-birit!

Ertinya, kemungkinan pesakit positif COVID-19 yang tiada gejala cirit-birit juga mungkin positif apabila ujian sampel daripada dubu dilakukan. Terdapat beberapa lagi kajian yang menunjukan pesakit yang negatif ujian sampel nasopharyngeal swab tetapi masih positif sampel rectal swab.

Biarpun mekanisme interaksi virus SARS-CoV-2 dengan sistem perut dan pencernaan (gastrointestinal; GI system) masih belum jelas, jurnal Gastroenterology menyebutkan reseptor virus ACE2 yang dijadikan titik interaksi virus dengan sel perumah memang banyak dieskpresi dalam sistem GI.

Seramai 39 daripada 73 pesakit COVID-19 yang dikaji menunjukkan keputusan positif ujian RNA SARS-CoV-2 ke atas sampel tinja pesakit. Malah, 17 daripada mereka kekal positif walaupun sampel nasopharyngeal telah negatif.

Pemahaman ke atas sebaran virus COVID-19 melalui dubur ke mulut (faecal-oral transmission) ini masih dalam kajian, namun adalah penting untuk kita bukan sahaja mengamalkan jarak sosial, tetapi kebersihan diri yang baik (good personal hygiene).

Hal ini penting bukan sahaja kepada bekas pesakit (atau mungkin juga pesakit yang tidak bergejala; asymptomatic), malah kepada semua pengendali yang kini masih berniaga secara penghantaran/bungkus ke rumah dan juga tak lupa, penyedia makanan di rumah.

Pada masa yang sama, para saintis seluruh dunia termasuk di Malaysia ini akan terus mengkaji dengan sampel yang lebih besar untuk mengesahkan kemungkinan sebaran virus COVID-19 melalui laluan dubur ke mulut termasuk risiko sebaran melalui sistem rawatan air kumbahan.

Justeru itu, semua pihak perlu sedar bahawa najis manusia juga ‘mungkin’ mengandungi virus COVID-19 aktif bersama ribuan jenis virus lain yang telah kita biasa tahu biarpun individu itu tidak bergejala.

*Diagram pathogenicity of COVID-19 telah dikongsikan oleh pengguna Facebook Maria Arsha dalam Group Biomedical Science of Malaysia

M.A. Zabidi
30 Mac 2020
Bayan Lepas  – HARAKAHDAILY 30/3/2020

PS: Semua laporan kajian asli atau laporan sorotan tentang COVID-19 dalam mana-mana platform jurnal adalah secara capaian terbuka (open access). Pakat ambil peluang baca.

- Advertisement -