ALLAH menjadikan hidup dan mati sebagai ujian
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu orang yang paling baik amalannya. dan Dialah (Allah) yang Maha Mulia Lagi Maha Pengampun.”
(al-Mulk: 2)
Manusia dari tiada, di alam roh, kemudian di alam rahim selama 9 bulan, lahir ke alam dunia selama mana dikehendaki Allah, berpindah ke alam barzakh yang lebih lama, bangkit di akhirat, dan akhirnya ke syurga (mudah-mudahan) atau neraka (minta dijauhkan).
Justeru, hidup di dunia ini hanya sementara. Mati tetap mati, sama ada kerana positif COVID-19 (minta dijauhkan) atau melalui cara lain. Bagi seorang Mukmin, yang penting ialah hidup dengan iman dan mati dalam iman. Allah berfirman:
فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
“Maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu orang Islam.”
(al-Baqarah: 132)
Ulamak berkata, maksudnya ialah kamu mesti tetap berada dalam Islam ketika hidup sehingga apabila malakulmaut datang mencabut nyawa, kamu tetap dalam Islam.
Ujian boleh jadi dalam bentuk kesenangan, dan mungkin juga kesusahan. Bagi seorang Mukmin, segala perkara yang berlaku kepadanya adalah baik dan mendapat pahala. Nabi S.A.W bersabda:
عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خيْراً لَهُ
“Sangat mengkagumkan bagi urusan orang mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya, semuanya baik untuknya. Perkara ini tidak berlaku kepada seseorang melainkan bagi seorang mukmin. Jika dia mendapat perkara yang menyukakan, dia bersyukur. Maka ia menjadi kebaikan untuknya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia sabar. Maka ia menjadi kebaikan untuknya.”
(Riwayat Muslim)
Dalam konteks semasa, kita diuji dengan wabak COVID-19. Bukan hanya kita, malah seluruh dunia. Tidak hanya melibatkan virus yang tidak kelihatan pada mata kasar, bahkan ia berkait dengan pekerjaan, sarahidup dan sistem ekonomi negara dan dunia.
Setuju atau tidak, dunia ini semakin tua. Namun, solekan tebal dan kosmetik pelbagai warna yang dipakai pada wajahnya menutup umurnya yang sebenar. Ramai yang tergoda dan tertipu dengannya. Mereka tenggelam dalam keseronokan dan keindahan yang palsu. Hanya orang mukmin yang perasan dengan si tua ini. Wajah cantik tetapi lehernya sudah berkedut. Kulit tangannya berkerutu walaupun cuba disembunyikan.
Nabi S.A.W mengingatkan kita dalam pelbagai hadis akhir zaman tentang suasana akhir zaman dan apa yang patut dibuat. Apabila ada kumpulan Islam yang memperjuangkan Islam, bersamalah dengan mereka agar dapat menjadi benteng. Hidupkanlah sunnah Nabi yang mula dimatikan. Berpeganglah dengan Islam sungguh- sungguh seperti menggigit dengan gigi geraham. Hiduplah di dunia sebagai seorang musafir sahaja, bukan untuk terus tinggal di bawah pokok itu. Carilah bekalan yang dapat menyelamatkan diri di dunia dan akhirat nanti.
Hidup mesti diteruskan, samada senang atau susah. Kalau sakit, berubat dan carilah ubat, tetapi hati berkata: “Apabila aku sakit, Allah yang menyembuhkan”. Jika ditakdirkan sembuh, Alhamdulillah, teruskan kehidupan dalam keadaan taatkan Allah. Jika ditakdirkan mati, biarlah mati dalam husnul khatimah.
Kalau ekonomi teruk, berusahalah agar ekonomi pulih, tetapi hati berkata: “La haula wa la quwwata illa billah” Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Allah. Jika ekonomi pulih, ingatlah bahawa Allah yang mengizinkannya untuk pulih. Jika tidak, teruslah berusaha dan hati tetap bergantung kepada Allah.
Hidup dan mati adalah ujian,
Berbuat taat sebagai bekalan,
Wabak COVID-19 bukanlah pengakhiran,
Ia hanyalah liku-liku kehidupan.
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 30/3/2020