PERMATA tersembunyi
Antara tokoh yang lewat memeluk Islam berbanding para Sahabat yang lain adalah Amru bin Al ‘As. Peng-Islamannya serentak dengan Khalid bin al-Walid, iaitu selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah. Walaupun begitu, kedua-duanya menjadi tokoh yang begitu menyinar buat Islam. Ketokohannya pula semakin terserlah pada zaman Saidina Umar al-Khattab R.A terutama selepas kewafatan Abu Ubaidah al-Jarrah yang syahid ketika peristiwa Tha’un Amwas pada tahun 18 Hijrah. Ia mengingatkan kita kepada sabdaan Nabi S.A.W:
“Sebaik-baik kalian ketika jahiliah, adalah juga sebaik-baiknya ketika Islam apabila mereka memiliki kefaqihan”
(Hadis Muttafaqun `Alaih)
Amru yang diangkat menggantikan Abu Ubaidah, mengarahkan supaya penduduk berpindah ke kawasan yang tinggi melalui ucapannya pada orang ramai [1]. Ini selepas melihat pertambahan kematian yang semakin meningkat dan tidak ada langsung suatu perubahan yang baik atau pengurangan wabak. Selepas daripada pelaksanaan tersebut, barulah wabak itu menurun dan berakhir dengan izin Allah. Selepas itulah berlakunya pembukaan Kota Mesir.
Kisah Amru dan Raja Najasyi
Amru pernah bertegas bahawa sekiranya semua orang Quraisy memeluk Islam, dia sekali-kali tidak. Ini kerana dia sudah beberapa kali terselamat daripada terbunuh bermula dari peperangan Badar, Uhud dan Khandaq yang kesemuanya beliau berada di pihak Musyrikin Makkah memerangi Islam. Tetapi segalanya berubah apabila Amru ditugaskan untuk bertemu Raja Najasyi supaya merayu untuk tidak membenarkan orang Islam yang berhjirah ke sana untuk terus tinggal di Habsyah. Rupa-rupanya kedatangannya ke Habsyah adalah berbetulan dengan peng-Islaman Raja Najasyi tanpa diketahui oleh Amru. Amru bin al-`Aas terserempak dengan utusan Nabi S.A.W Amru bin Umayyah Ad Dhamri.
Untuk memujuk Raja Najasyi, Amru mengadapnya dengan membawa hadiah yang banyak. Ketika hadiahnya diterima dan dilayan dengan baik ketika itulah Amru memulakan bicaranya. Imam al-Waqidi menyebutkan:
“Tadi aku melihat ada seorang yang datang mengadap dan membawa surat. Sebenarnya dia adalah utusan musuh kami, yang telah melakukan masalah kepada kami dan membunuh pemimpin-pemimpin kami, serahkanlah dia kepadaku supaya dapat aku membunuhnya. Tiba-tiba Raja Habsyah meradang dan mengangkat tangannya menampar muka Amru mengenai hidungnya sehingga berdarah lalu berkata: “Duhai Amru, adakah engkau meminta kepadaku untuk aku serahkan kepadamu utusan dari seorang yang didatangi oleh malaikat Jibrail yang pernah datang menemui Musa dan Isa supaya aku membunuhnya?” [2]
“Amru bin al-‘As menceritakan perasaannya pada masa itu kalau ada lubang bumi untuk aku menyelamatkan diri nescaya aku masuk ke dalamnya. Aku berfikir adakah orang Arab dan ‘Ajam percaya kepadanya tetapi aku tidak percaya? Amru terus berkata: “Adakah tuan percaya kepadanya?” Raja Najasyi menjawab: “Ya! Aku mengaku di sisi Allah percaya kepadanya. Demi Allah dia di pihak yang benar, dia mesti menang menghadapi orang yang menentangnya seperti Allah memenangkan Nabi Musa menghadapi Firaun dan bala tenteranya. Adakah di kau berjanji kepadaku untuk masuk Islam?” Amru menjawab: “Ya!”. Lalu Raja Habsyah menghulur tangannya kepada Amru untuk berjanji masuk Islam, setelah Amru menerimanya beliau memerintah supaya dibasuh bajunya dan ditukar pakaian yang baru.” [3]
“Selepas pulang dari Habsyah inilah Amru terus menuju ke Madinah dan akhirnya memeluk Islam.”
Kisah ini ada disampaikan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pada Kuliah Dhuha bertarikh 27 Mac 2020. [4]
Pembukaan Kota Mesir
Semua kita maklum bahawa Mesir dibuka oleh Amru bin Al-‘As. Ketika panglima perang berperang dengan pedangnya, tetapi Amru berperang dengan kepetahan lidah dan hujahnya. Kota Mesir dibuka tanpa pertumpahan darah dan nyawa kerana Mesir sudah sebati dengannya melalui aktiviti perniagaan. Begitu juga perihal rakyatnya yang sudah muak dengan kebengisan Raja Mawquqis memudahkan usaha Amru bin al-‘As.
Terdapat pendapat yang menyebutkan bahawa idea untuk membuka Mesir ini sudah dicetuskan oleh Umar Al-Khattab. Beliau melihat kelebihan Mesir melalui dua keadaan. Iaitu kekayaan hasil buminya dan berkongsi terus aktiviti perdagangan, politik dan ketenteraannya dengan wilayah Syam sejak sekian lama.
Dengan kejatuhan Iskandariah pada akhir 20 Hijrah / 641 Masihi menjadikan keseluruhan Mesir di bawah kekuasaan umat Islam. [5]
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
29 Mac 2020
[1] https://www.islamweb.net/ar/article/182601
[2] Kisah ini juga mempunyai jalur riwayat yang berbeza. Menurut Ibnu Kathir dalam Al Bidayah Wannihayah menyebutkan Raja Najasyi ketika mendengar permintaan Amru, beliau menampar mukanya sendiri hingga Amru menjadi takut permintaannya dimurkai oleh Raja. Rujuk Al Bidayah Wan Nihayah jilid 4 Kisah Amru bin Al As bersama Najasyi muka surat 143 cetakan Darul Hadis.
[3] Fiqh Harakah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang jilid kedua.
[4] Kuliah Dhuha Online TGHH https://www.facebook.com/abdulhadiawang/videos/164690804632258/.
[5] At Tarikh Al Islami Al Wajiz Dr. Muhammad Suhail Taqqus – HARAKAHDAILY 29/3/2020