DAP pertikai bonus, musuhi penjawat awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham mempertikaikan pemberian insentif tambahan kepada penjawat awam yang terlibat memerangi COVID-19 dibidas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhtar Suhaili

- Advertisement -

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak menggesa Pengerusi DAP Negeri Perak itu supaya lebih baik diam dan menyeru rakyat khususnya para penjawat awam supaya mengingati kata-kata pemimpin DAP itu buat selamanya.

“Ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus mengawal penularan COVID-19 dan memberi bantuan rakyat, pemimpin DAP terus bermain politik sempit dan mempertikai bonus kepada penjawat awam!

“Jika YB tidak dapat membezakan antara tambahan elaun khas kepada ‘frontliners’ dengan bantuan tunai ataubonus kepada penjawat awam termasuk ‘frontliners’, YB lebih baik diam daripada terus meresahkan dan membangkitkan kemarahan rakyat.

“Kenapa alahan sangat dengan penjawat awam? Lebih banyak tunai di tangan rakyat adalah untuk memacu ekonomi melalui permintaan kepada pasaran. Mohon Kakitangan Awam semua ambil perhatian lah dengan ahli politik sebegini! Tolak DAP!” gesanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menyifatkan hal tersebut sebagai tanda dengki dan benci DAP terhadap kalangan para penjawat awam di negara ini.

“Sebelum ini sudah masyhur kisah penjawat awam dianggap oleh DAP sebagai golongan bermasalah yang perlu dikurangkan saiznya. Kini bila PM umum beri bantuan tunai RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam untuk merangsang ekonomi pun DAP persoalkan.

Mengapa DAP seperti begitu dengki dan benci kepada penjawat awam, apakah hanya kerana majoriti daripada mereka berbangsa Melayu? Ingatlah, tanpa sumbangan penjawat awam pentadbiran negara akan terhenti, apalah sangat nilai RM500 dibanding jasa bakti mereka.

“Apa DAP ingat penjawat awam tidak susah jugakah ekoran wabak COVID-19 ini?” soal beliau mengecam muat naik oleh Koo Ham yang juga Speaker DUN Perak. – HARAKAHDAILY 29/3/2020

- Advertisement -