KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bertenang dan tidak mudah percaya kepada dakwaan dan maklumat palsu kononnya stok bekalan beras negara tidak mencukupi dan mulai kehabisan kesan dari situasi pendemik COVID-19 ketika ini.
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat sebenar dan tidak membuat telahan sendiri yang mengundang kebimbangan sendiri.
Sebaliknya beritahu beliau yang juga EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Kerajaan Negeri Terengganu, bekalan barang makanan ruji negara itu kini berada dalam di tahap yang stabil dan terkawal.
“Kedudukan stok beras di peringkat kilang, borong dan runcit masih berada pada tahap konsisten iaitu purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik setiap bulan berbanding keperluan negara iaitu sebanyak 200,000 tan metrik sebulan.
“Kementerian sentiasa memantau kedudukan stok bekalan beras secara berkala melalui pemegang-pemegang lesen kilang, borong dan runcit beras,” ujarnya berkongsi jawaban rasmi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Dakwaan kononnya stok beras mulai habis di pasaran menjadi tular selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kepada 14 April depan baru-baru ini.
Ketika sama juga dilaporkan bahawa Vietnam yang merupakan antara negara pembekal keperluan beras kepada Malaysia telah menggantung sementara pengeksportan pengeluaran mereka ekoran COVID-19.
Berikutan itu juga berlaku keadaan panik daripada pengguna yang bertindak membeli barang makanan utama rakyat Malaysia dengan jumlah banyak untuk dijadikan stok selain persepsi kononnya darurat akan diisytiharkan.
“Jangan lupa bahawa padi telah mula dituai di beberapa kawasan di Terengganu, Perak, Perlis dan Kedah. Maknanya, stok beras yang ada ini (memang) akan berkurang dengan penggunaan harian.
“Tetapi bertambah semula dengan musim menuai yang sedang berjalan. (Jadi) Jangan panik, jaga (keselamatan) diri dan duduk di rumah (mematuhi PKP),” seru beliau. – HARAKAHDAILY 28/3/2020