PKP: NGO dinasihat hulur bantuan melalui JKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menasihatkan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)yang prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia menghantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, NGO yang ingin menyumbang kepada masyarakat setempat untuk mematuhi arahan PKP berikutan ramai pihak keluar untuk memberi sumbangan.

“Bagi mengurangkan pergerakan sewaktu perintah ini dikeluarkan kita tidak boleh membenarkan sebahagian bebas untuk keluar dengan alasan menghantar makanan. Sebagai rakyat kita tidak dibenarkan untuk keluar rumah,”kata beliau dalam sidang media sebentar tadi, di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya penglibatan NGO untuk sama-sama membantu sangat dihargai.

“Kita pihak kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas keprihatinan NGO-NGO ini bagi membantu rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, cadangan baru yang dikeluarkan ini adalah untuk kebaikan bersama dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia ketika menghadapi cabaran Covid-19 ini.

“Saya ingin menasihatkan kepada NGO-NGO yang ingin membantu supaya mereka menghantar bekalan makanan mereka tersebut ke pusat-pusat yang diwujudkan oleh kementerian wanita dan keluarga iaitu dibawah jabatan kebajikan masyarakat di setiap daerah.

“Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah-daerah akan digunakan sebagai pusat pengumpulan produk-produk atau bahan-bahan makanan yang nak dibekalkan kepada penduduk-penduduk setempat yang berada dikawasan tersebut,” ujarnya.

Di samping itu katanya, untuk proses penghantaran pula akan dilaksanakan oleh pihak anggota berwajib.

“Kita telah pun membuat keputusan bahawa yang akan menghantarnya adalah anggota RELA dan APM. Jadi kita tidak mahu terlalu banyak pergerakan yang berlaku kerana ia juga memberikan kesan juga kepada rakyat dikawasan terbabit.

“Walaupun kita mengalu-alukan rakyat kita yang sentiasa prihatin kepada nasib yang menimpa rakyat kita yang lain tetapi peraturan mesti dipatuhi,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 28/3/2020

- Advertisement -