Lindungi rakyat, sokong perniagaan, perkukuh ekonomi

- Advertisement -

TERDAPAT pelbagai reaksi terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri petang semalam. Ramai yang menyahut baik pakej menyeluruh berjumlah RM250 bilion ini. Walau bagaimanapun ada juga yang mempertikaikan jumlah yang disebut memandangkan jumlah suntikan fiskal secara langsung adalah berjumlah RM25 bilion. Bagi saya pakej rangsangan ini memang prihatin rakyat dan menyeluruh. Memandangkan telah ramai yang memberikan ulasan terhadap langkah-langkah terperinci. Izinkan saya memberikan ulasan dalam konteks pengurusan kewangan atau fiskal secara keseluruhan.

Dalam mentadbirkan sesebuah negara, selain daripada suntikan fiskal langsung melalui Bajet Kerajaan Persekutuan, mana-mana Kerajaan perlu menggembleng dana daripada pelbagai sumber untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Ini termasuklah dana-dana daripada agensi-agensi Kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan dan sektor swasta. Lagipun kira-kira dua pertiga daripada ekonomi negara kini dipacu oleh sektor swasta.

Pada 27 Februari 2020 yang lalu mantan Perdana Menteri (PM) 7 telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bernilai RM20 bilion. Daripada jumlah ini, hanya RM3.5 bilion adalah suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan Persekutuan. Selebihnya adalah dari sumber luar Bajet iaitu RM10 bilion daripada suntikan pengurangan kadar 4 peratus caruman pekerja KWSP, RM3.5 bilion dana pinjaman BNM, BSN dan lain-lain agensi, dan RM3 bilion daripada sumber lain.

- Advertisement -

Dalam Bajet 2020 yang telah dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019, Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM297 bilion berbanding jumlah hasil RM244.5 bilion. Ini bermakna setelah mengambil kira terimaan balik pinjaman RM0.8 bilion, Kerajaan akan mengalami defisit fiskal sebanyak RM51.7 bilion, atau 3.2 peratus daripada KDNK pada nilai semasa RM1,608 bilion. Suntikan langsung RM3.5 bilion yang diumumkan dalam PRE 2020 akan meningkatkan defisit fiskal tahun 2020 kepada 3.4 peratus daripada KDNK.

Krisis ekonomi global akibat wabak COVID-19 akan mengurangkan hasil Kerajaan dengan ketara. Sebagai contoh, seingat saya, setiap USD1 kejatuhan harga minyak mentah Brent setong akan mengakibatkan pengurangan hasil Kerajaan sebanyak kira-kira RM300 juta setahun. Bajet 2020 telah disediakan berdasarkan andaian purata harga minyak mentah Brent USD62 setong. Harga minyak Brent terkini adalah USD25 setong dan purata harga untuk bulan Mac adalah USD35 setong. Ini bermakna sekiranya purata harga minyak Brent untuk tahun 2020 adalah pada harga USD35 setong, hasil Kerajaan akan berkurangan sebanyak kira-kira RM8 bilion. Hasil cukai pendapatan juga dijangka berkurangan akibat penurunan pendapatan bercukai individu dan korporat. Jika diandaikan hasil Kerajaan keseluruhannya akan berkurangan sebanyak RM22 bilion, ia akan meningkatkan defisit fiskal kepada kira-kira RM74 bilion atau 4.6 peratus daripada KDNK.

Dalam pembentangan Pakej Rangsangan PRIHATIN, YAB PM telah mengumumkan Pakej Rangsangan berjumlah RM250 bilion iaitu RM20 bilion daripada PRE 2020 yang terdahulu dan RM230 bilion rangsangan tambahan. Daripada jumlah RM230 bilion ini, RM22 bilion adalah suntikan fiskal langsung, RM100 bilion dalam bentuk moratorium pinjaman, RM55 bilion dalam bentuk jaminan, RM40 bilion pengeluaran KWSP dan RM13 bilion lain-lain sumber. Ini menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal langsung sebanyak RM25 bilion, 1.6 peratus daripada KDNK (pada nilai semasa yang sama).

Dengan tambahan RM25 bilion ini, defisit fiskal akan meningkat kepada RM99 bilion atau 6.2 peratus daripada KDNK. Saya difahamkan terdapat beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada RM74 bilion atau 4.6 peratus daripada KDNK.

Defisit 4.6 peratus daripada KDNK ini adalah lebih rendah daripada defisit 6.7 peratus yang pernah dicatatkan pada tahun 2009 semasa negara Malaysia mengalami krisis kewangan global. Ini selaras dengan kenyataan PM bahawa Kerajaan akan memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan dan Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

Defisit di bawah paras 5 peratus ini akan mengurangkan tekanan terhadap penarafan kredit Antarabangsa Malaysia semasa A3/A- . Ia juga akan memberikan ruang untuk Kerajaan melaksanakan langkah-langkah tambahan sekiranya wabak COVID-19 berlarutan melangkaui tempoh 6 bulan.

Secara keseluruhan, Pakej Rangsangan yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi yang telah diumumkan adalah bertepatan (appropriate) dalam keadaan yang amat sukar, tidak pernah dilalui (unprecedented) dan tidak menentu ini. Marilah kita bersikap membina dan bersama-sama memainkan peranan masing-masing mengatasi krisis global ini yang mengancam nyawa, kehidupan dan kesejahteraan kita.

Sekian, terima kasih dan salam hormat.

TAN SRI DATO’ SRI ABDUL WAHID OMAR
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia
Mantan CEO Maybank
Mantan Menteri Ekonomi – HARAKAHDAILY 28/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -