32,000 pelancong Malaysia risiko bawa kes import

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkembangan menunjukkan jangkitan COVID-19 masih bertambah 130 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 2,161 pesakit dengan melibatkan 26 kematian diisytiharkan setakat jam 12:00 tengahari semalam.

- Advertisement -

Bagaimanapun, negara khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersiap terhadap kemungkinan gelombang ketiga yang diibaratkan seperti tsunami oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, ekspektasi tersebut telah difikirkan pihaknya sejak tiga minggu lalu berikutan jumlah besar rakyat Malaysia bercuti ke luar negara semasa cuti sekolah bulan ini, termasuk ke Jepun dan Korea yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Saya dimaklumkan ada satu kementerian 8,000 warga kementerian itu diluluskan untuk melancong ke luar negara dan kita dah tahu gelombang kedua melibatkan warga Malaysia yang mereka adalah kes import.

“Lihat contoh kes-23, pergi Jepun dengan keluarga, balik positif. Jadi kita takut bila 32,000 dari pelancong warga Malaysia ke Korea, Jepun, Itali dan sebagainya, bila kembali mungkin kita dapat kes import yang mendadak,” dedahnya di Putrajaya petang semalam.

Demikian itu terang beliau, Perintah Kawalan Pergerakan adalah pilihan terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana kerajaan tiada keupayaan bagi melakukan kuarantin terhadap sejumlah besar pesakit.

Pun begitu dalam rangka tindakan terhadap hal tersebut beliau menjelaskan, mereka yang telah mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara itu mesti dipastikan supaya melaksanakan kuarantin dalam rumah selama dua minggu.

Beliau juga memaklumkan, langkah kedua selepas PKP adalah mengesan kes disyaki, dibuat ujian dan pengasingan kepada yang positif, serta merawat pesakit berkenaan di hospital. – HARAKAHDAILY 28/3/2020

- Advertisement -