Sumbangan kemanusiaan VS sumbang kritikan

- Advertisement -

SEWAKTU Kerajaan Negeri Terengganu dikuasai PAS pada tahun 1999, PAS menghadapi satu ujian besar iaitu, royalti petroleum telah ditarik, diubah nama dan diberikan kepada pihak yang lain, atau apa yang dipanggil wakil Kerajaan Pusat.

Ketika itu, PAS baru pertama kali menerima bayaran royalti kira-kira RM400 juta sebelum ianya dialihkan penguasaan perbelanjaannya kepada pihak lain. Penarikan royalti petroleum negeri, bererti memotong 85 peratus pendapatan negeri, sekali gus melumpuhkan pentadbiran.

Kemudian diadakan satu ceramah mega di Stadium Negeri oleh PAS bagi menerangkan keadaan yang berlaku sehingga pimpinan negeri memutuskan untuk menukar status perjanjian itu sebagai bukan rahsia, bagi memaklumkan duduk perkara itu kepada rakyat.

Antara perkara utama yang diisytiharkan pada malam itu oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ialah pemotongan gaji sebulan bagi semua EXCO dan wakil rakyat PAS dan juga menubuhkan Tabung Darul Iman (TDI). Suatu yang amat membanggakan, TDI terus digunakan sehingga kini walau telah bertukar kembali kerajaan kepada PAS.

- Advertisement -

Contoh telah diberikan semenjak dahulu oleh ulamak iaitu apabila menghadapi krisis, wang dari kantung kerajaan dahulu mesti digunakan. Duit rakyat tidak ditagih sewenang-wenangnya, dimudahkan mengeluarkan wang mereka bagi kegunaan sendiri. Mana-mana negara pun, tidak akan dapat menanggung semua rakyatnya secara berterusan.

PAS sudah belajar dari hal ini sejak sekian lama. Maka tidak sedikit cerita ahli-ahli PAS yang masih bertahan, menolak pemberian kerajaan kepada mereka atas dasar, ada lagi orang lain yang layak. Mereka bertahan dengan apa yang ada, sambil membantu pula masyarakat bagi tujuan memudahkan rakyat. Ramai dari kalangan MPKK yang juga tidak mampu, tapi mereka diamkan sahaja.

Masih ingatkah anda dengan kisah tiga sahabat di dalam satu peperangan. Ketiga-tiga mereka berada dalam kesakitan akibat tikaman musuh. Mereka merasa dahaga, meminta air untuk menghilangkan haus. Apabila disuakan bekas air ke mulut orang yang pertama, tiba-tiba dia mendengar suara sahabat di sebelahnya kehausan, mahukan air.

Disuruhnya pergi kepada sahabatnya dahulu, mungkin dia lebih memerlukan. Dan hal yang sama berlaku kepada mangsa kedua, mendengar suara meminta air sebelum dia sempat meminumnya. Pergi kepada orang ketiga, dilihat dia sudah syahid. Datang kembali kepada orang yang pertama, juga syahid dan yang kedua juga syahid. Mereka bersedekah sebelum diangkat nyawa mereka.

Tauladan ini ditunjukkan oleh Jemaah Menteri Negara. Mereka memotong gaji mereka selama dua bulan bagi dikembalikan kepada rakyat yang amat terdesak ketika ini. Dalam kes ini, rakyat bukan mesti difikirkan dari kalangan asnaf sahaja, malahan juga mereka dari golongan pertengahan yang kehabisan makanan, wang dan keperluan lain. Mereka bukan miskin, tetapi tersekat kerana wabak ini.

Kini, tidak sedikit rakyat Malaysia bersedekah demi negara yang tercinta. Kita memberi tanpa mengira agama, bangsa dan juga kepada bukan kenalan kita. Kita bersatu atas nama kemanusiaan. Institusi-institusi kewangan menangguhkan bayaran balik pinjaman, syarikat utiliti memotong separuh bil penggunaan rumah kediaman.

Ada jiran yang menghulurkan bantuan keperluan, ada tuan rumah mengurangkan sewa, ada orang yang menderma kepada orang yang dia sendiri tidak kenal, ada anggota keselamatan yang bukan sahaja mengawal keadaan, tetapi juga membelikan makanan kepada gelandangan. Begitulah ikatan yang kita ada sekarang. Kita bersama menyumbang, menyumbang dan terus menyumbang.

Tetapi tetap akan ada dasar manusia yang tidak sedar dan pentingkan diri. Ketika masih berlambak makanan di rumah, mereka menjerit-jerit minta bahagian yang sama, mereka mengutuk-ngutuk pihak yang menguruskan misi kemanusiaan, mereka mendakwa ada pilih kasih dan ketidakadilan yang mereka sendiri gagal membuktikannya. Perut mereka, walaupun sudah penuh, tetap tidak merasa puas.

Golongan ini tidak jauh bezanya dengan satu lagi golongan iaitu kalangan manusia yang tidak puas-puas berpolitik ketika suasana yang mencemaskan ini. Sumbangan mereka yang paling besar ialah kritikan kerana kecewa ditipu ketua mereka sendiri sehingga kehilangan kerajaan. Kritikan mereka ini, menampakkan seolah-olah semua salah orang, tiada langsung kebaikan yang boleh mereka memberikan kepujian.

Kedua-dua golongan ini, tiada bezanya. Mereka menyumbang kepada kesusahan yang lebih parah kepada rakyat dan negara. Mereka merosakkan kebaikan yang mahu dibina oleh bukan hanya kerajaan tetapi juga rakyat. Tidak terhenti kutukan kepada kerajaan, hatta cadangan melakukan ibadat puasa juga disindir.

Mereka adalah golongan yang sumbang. Sumbang akhlak, sumbang jiwa kerana jauhnya dari Allah. Malulah sikit kepada rakyat yang ikhlas ini. Mereka sebenarnya amat benci dengan perangai kamu ini. Beginikah cara mahu mengambil hati rakyat semula?

Marilah rakyat semua, kita kekalkan sumbangan kita di saat getir sebegini. Kita jauhi dan hapuskan golongan yang sumbang ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
27 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 27/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -