RM200 kepada pelajar IPT – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM270 juta diperuntukan kepada golongan pelajar pengajian tinggi dengan pembayaran ‘one-off’ sebanyak RM200 setiap seorang pada bulan Mei depan.

Golongan pelajar yang menerima manfaat ini termasuk pelajar matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

- Advertisement -

“Sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama 6 bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta.

“Kini, kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang disiarkan secara langsung di saluran RTM, hari ini.

Penangguhan PTPK katanya melibatkan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta dan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 174, 500 peminjam.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pula akan mendapat pembayaran pada Julai depan melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Tidak ada golongan yang tercicir, warga emas, kanak-kanak di rumah perlindungan, OKU, gelandangan dan orang asal kebajikan mereka akan sentiasa dipastikan.

Kata Muhyiddin, kerajaan akan bekerjasama dengan NGO dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka dengan peruntukan sebanyak RM25 juta.- HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -