PKP: PAS Lenggong turun padang, hulur sumbangan

- Advertisement -

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada golongan sasar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria sendiri telah dua hari berturut-turut turun menyampaikan sumbangan 10 kilogram beras dan bungkusan barangan lain untuk setiap keluarga yang layak.

Kelmarin sebanyak 260 keluarga terdiri daripada penoreh, nelayan, petani dan tukang kayu dari DUN Kota Tampan dan Kenering dalam Parlimen Lenggong telah terpilih sebagai penerima.

Semalam, sebanyak 109 keluarga lagi berjaya disampaikan bantuan dengan dihantar barangan berkenaan dari rumah ke rumah para penerima berkenaan.

“Golongan sasar yang kita pilih terdiri daripada para penoreh, nelayan, petani, tukang kayu dan lain-lain.

“Ala kadar sahaja bantuannya, beras, gula, kopi, teh, tepung, minyak masak, ikan kering, telor, roti dan bihun, yang kita beli dengan dana sebanyak RM6000,” ujarnya.

Turut sama menyampaikan bantuan, Ketua Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman dan beberapa pimpinan PAS Kawasan dan PAS Cawangan.

Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak berkata, barangan untuk bantuan itu dibeli dengan dana yang disumbangkan oleh para dermawan, termasuk oleh beliau sendiri.

Memandangkan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi hingga 14 April, mungkin lebih ramai rakyat yang terkesan dengannya.

Sehubungan itu PAS Lenggong akan meneruskan usaha mengumpul dana untuk membeli barangan bantuan dan menyasarkan untuk membeli 1,000 kampit beras serta barangan lain.

“Mereka yang ingin menyumbang dalam bentuk barangan seperti beras dan lain-lain, boleh berbuat demikian dengan menghantarkan ke pusat pengumpulan di Markaz PAS Lubuk Kawah,” sarannya.

Manakala yang bermurah hati untuk menderma dalam bentuk kewangan serunya lagi, boleh menyumbang melalui akaun Maybank 5581 3600 3674 atas nama PAS Kawasan Lenggong. – HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -