PKP: Cakna jiran sekeliling kita – Ustaz Idris

BUKIT GANTANG: PAS akan berusaha menyalurkan sumbangan termampu mungkin kepada golongan yang sangat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, walaupun pelbagai inisiatif dan bantuan telah disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan negeri waktu ini, namun mungkin masih ada golongan yang tercicir dan memerlukan bantuan.

“Semua Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Cawangan perlu cakna dengan jiran-jiran sekeliling kampung dan taman perumahan agar tiada yang menanggung kesempitan hidup sepanjang PKP ini dilaksanakan.

“Jika ada yang memerlukan sumbangan, sila maklumkan dengan segera agar kita boleh menyalurkan bantuan sekadar yang termampu,” gesa beliau.

Ustaz Idris yang juga Penasihat Jawatankuasa Bantuan COVID-19 PAS Kawasan Bukit Gantang menegaskan, derita ditanggung oleh mereka sangat berat apabila PKP yang dimulakan sejak 18 Mac lalu dilanjutkan lagi sehingga 14 April nanti.

Sementara itu, sebanyak 315 pek beras dengan jumlah 3.15 tan telah diedarkan ke seluruh Parlimen Bukit Gantang diketuai Pengarah Jawatankuasa Bantuan COVID-19 PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

“Sebanyak 105 penerima masing-masing di DUN Sepetang dan Changkat Jering, 90 penerima di DUN Trong manakala 15 penerima lagi di kalangan ahli-ahli Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP).

“Bagi memenuhi arahan PKP, kami terpaksa menghadkan jumlah sukarelawan yang bertugas, mengetatkan peraturan kebersihan dan melakukan agihan dengan pantas. Alhamdulillah, dengan kerjasama daripada PAS Cawangan-cawangan, operasi hari ini berjalan lancar dan akan diteruskan lagi sepanjang tempoh PKP.

“Kami mewujudkan Bilik Gerakan khas bagi mengumpulkan sumbangan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan sebagainya, selain menyelaraskan agihan sumbangan yang disalurkan oleh wakil rakyat di peringkat Parlimen, DUN dan oleh kerajaan negeri.

“Orang ramai boleh berhubung dengan Bilik Gerakan ini di talian 019-9110192, 019-5797466 dan 013-5204412 dan PAS Kawasan turut mengalu-alukan sumbangan ahli-ahli dan para dermawan di mana mereka boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk makanan asas atau kewangan,” serunya.

Sebarang sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank 5580 5130 4442 di atas nama Tabung Prihatin PAS Kawasan Bukit Gantang (Rujukan: Bencana COVID-19). – HARAKAHDAILY 27/3/2020