Nota kuliah ibrah peristiwa Israk Mikraj

- Advertisement -

SURAH al-Israk ayat 1 dan surah an-Najm ayat 13 hingga 18

- Advertisement -

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(al-Israk: 1)

Bilakah ia berlaku? (Rahiqul Makhtum)

(a) Beberapa pendapat para ulamak mengenai masa ia berlaku

(i) Imam At-Tobari: Berlaku pada tahun Nabi S.A.W diangkat menjadi Rasul.
(ii) Imam Qurthubi dan Imam Nawawi: Berlaku pada tahun ke-5 Kenabian.
(iii) Imam Al-Mansyurfuri: Berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-10 Kenabian.
(iv) Berlaku pada bulan Ramadhan tahun 12 Kenabian (16 bulan sebelum hijrah).
(v) Berlaku pada bulan Muharram tahun ke-13 Kenabian setahun dua bulan sebelum hijrah).
(vi) Berlaku pada bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 Kenabian (setahun sebelum Hijrah).

(b) Kesimpulan

Yang menjadi kesepakatan ulamak adalah ia berlaku sebelum hijrah ke Madinah iaitu fasa Makkiah. Setiap pendapat ada kehujahan dan juga hujah balas, untuk kita pada hari ini bukanlah suatu keperluan untuk memperdebatkan lagi mengenai masa ia berlaku, sebaliknya menumpukan pada pengajaran dan hikmah kejadian tersebut berlaku untuk kebaikan ummah.

Apakah yang terjadi?

“Baginda S.A.W diperjalankan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam secara jasad dan roh. Kemudian diMikraj ke langit hingga ke Sidratul Muntaha.”

(Durus wa Ibar)

Hikmah dan pengajaran (Feqh Sirah Al Ghazali, Durus wa Ibar, Tafsir Munir)

(a) Nabi Muhammad penyempurna syariat Nabi terdahulu. Nabi mengimami seluruh para Nabi di Masjidil Aqsa sebagai mesej jelas bahawa risalah para Nabi adalah satu.

(i) Islam meraikan fitrah asal kejadian manusia dengan memilih susu berbanding arak sebagai bukti. Walaupun akhir zaman munculnya golongan Atheis yang mengaku tidak percaya pada tuhan, tetapi ia tidak menafikan di sudut kecil hatinya masih lagi tetap percaya.
(ii) Mengapa orang beriman paling layak bahagia? Kerana paling hampir dengan fitrah dari segenap aspek kehidupan.

(b) Tugas manusia sebagai hamba Allah, meninggikan agamaNya walau di mana kita berada;

“Tegakkan Islam dalam jiwamu, nescaya ia akan tertegak di muka bumi kita.”

(Hasan Hudhaibi)

(c) Keimanan mendepani kebendaan (tidak semua perkara yang tidak logik pada akal kita itu tidak boleh berlaku). Kebesaran Allah diperlihatkan sepanjang Mikraj kepada Nabi S.A.W. Perkara ghaib tidak boleh diukur dengan logik akal yang sempit kecuali dengan kepercayaan dan keimanan yang jitu lalu diselarikan dengan akal yang sihat.

(d) Kefardhuan solat 5 waktu supaya manusia menyembah Allah secara jasad dan roh, merasai kewujudan tuhan secara langsung di dalam solat.

(e) Kepentingan Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya pada umat Islam. Bumi Palestin bukan hanya sebagai persinggahan sebagai pusat pelancongan, tetapi ia adalah hak milik umat Islam.

Isyarat paling besar dalam peristiwa ini adalah kedudukan Baitul Maqdis dan bumi Palestin

(a) Nama lain bagi surah Israk adalah surah Bani Israel. Bermula ayat 2 hingga 8 pengkisahan Bani Israel yang mempunyai kaitan dengan jatuh bangun Baitil Maqdis sepanjang zaman.

(i) Allah memuliakan Bani Israel dengan menghadiahkan mereka para Nabi beserta kitab Taurat. Malangnya mereka menolak dan melakukan kerosakan dengan membunuh para Nabi dan menumpahkan darah. Mereka ingkar pada ajaran Taurat, membunuh Nabi Sya`ya, lalu Allah menghantar Raja Nebuchadnezar di zaman Nabi Irmiya, menyerang mereka dan merampas Baitul Maqdis sebagai balasan kerosakan pertama yang dilakukannya.

(ii) Kemudian mereka bertaubat lalu Allah kembalikan Palestin ke tangan mereka. Tetapi mereka kembali berbuat kerosakan kali kedua dengan membunuh Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan cubaan membunuh Nabi Isa. Allah menghantar Raja Birdos dari Kerajaan Babil (Iraq) untuk memusnahkan mereka. Jarak antara kedua kerosakan ini selama 500 tahun (rujuk Tafsir Al-Munir).

(iii) Dan masih banyak lagi tafsiran ulamak lain berkenaan maksud 2 kerosakan yang dilakukan oleh Yahudi. Ada juga yang menyebutkan kerosakan pertama adalah sejak dari zaman Nabi Musa hingga kedatangan Nabi Muhammad. Dan kerosakan kedua bermula dengan kemunculan Zionis pada tahun 1896 atau awal lagi.

(iv) Umat Islam mesti memahami perancangan Yahudi sepanjang zaman terutama usai kejatuhan Khilafah Uthmaniah. Apa yang disebut sebagai Perjanjian Sykes Picot 1916, Deklarasi Balfour 1917, Perjanjian Lausanne 1923, kelulusan wilayah Israel oleh PBB 1947, pemetaan baru dunia oleh Bernard Luis 1983 dan terkini Deal of The Century 2017. Kesemuanya berkaitan dengan survival Israel.

Kesimpulan

Usah berhenti mencari jawapan melalui petunjuk al-Quran. Bacalah dengan penuh keimanan untuk mencari kebenaran. Utamakan fakta dan bukan sebaran tanpa asas walaupun sudah digazetkan al-Quran, Yahudi pasti dan akan berterusan melakukan kerosakan di muka bumi, ia bukan lesen untuk bermudah-mudah meletakkan semua kesalahan itu pada mereka.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -